Wn/ms/Donald Trump cedera dalam insiden tembakan semasa berkempen di Pennsylvania
14 Julai 2024 (Ahad)
PENNSYLVANIA - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump cedera di bahagian telinga selepas ditembak semasa berucap dalam kempennya di negeri Pennsylvania semalam.
Menurut Perkhidmatan Rahsia A.S dalam kenyataannya, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah Trump semasa beliau berada di atas pentas dan baru memulakan ucapannya sekitar pukul 6:15 petang waktu tempatan. Dalam kejadian itu, seorang peserta perhimpunan terbunuh manakala dua kali cedera parah. Semua mangsa adalah lelaki dewasa.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan bekas presiden itu memegang telinga kanannya yang sedang berlumuran darah, kemudian rebah ke tanah. Ejen Perkhidmatan Rahsia dilihat bergegas ke pentas dan mengerumuni Trump sebelum membawanya turun. Beliau sempat berdiri seketika sambil memberi isyarat menumbuk ke udara dengan mukanya jelas terkena percikan darah.
Trump dibawa ke Hospital Memorial Butler untuk menerima rawatan. Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro berkata Trump berada dalam keadaan selamat dan telah meninggalkan Butler, lokasi kempennya dengan perlindungan penuh dari Perkhidmatan Rahsia dengan bantuan Polis Negeri Pennsylvania.
Pihak berkuasa berkata, penyerang itu menembak Trump dari posisi tinggi dan berada di luar kawasan perhimpunan sejauh 200-300 kaki (60-90 meter) dari situ. Suspek itu terbunuh setelah ditembak oleh pasukan penembak hendap Perkhidmatan Rahsia. Sumber menyatakan penyerang itu menggunakan senjata jenis senapang ringan.
Menerusi hantaran di laman sosial Truth Social, Trump menyatakan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pegawai berkuasa yang pantas mengambil tindakan susulan insiden itu. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia A.S. dan kesemua pegawai berkuasa, atas respon pantas mereka dalam kejadian tembakan yang terjadi di Butler, Pennsylvania," katanya.
"Paling penting sekali, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh, serta kepada keluarga mangsa yang tercedera."
Presiden Joe Biden mengutuk sekeras-kerasnya insiden itu serta mendoakan kesihatan Trump. Menerusi hantaran di laman sosial X, Biden berkata beliau sedang menunggu laporan penuh mengenai insiden itu, selain menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Trump. "Saya cuba untuk berjumpa Donald (Trump). Dia sedang bersama doktornya. Nampaknya dia dalam keadaan baik. Saya merancang untuk bercakap dengannya seketika nanti, saya harap."
Pihak berkuasa FBI kini sedang menyiasat motif penyerang itu serta tidak menolak kemungkinan insiden itu merupakan satu cubaan membunuh.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) George Chidi. " Biden, Liz Cheney and other politicians condemn Trump rally shooting " — The Guardian, 14 Julai 2024
- (Inggeris) Faris Tanyos. " Trump rally shooter killed by Secret Service sniper, officials say " — CBS News, 13 Julai 2024
- (Inggeris) Kathryn Watson. " Trump says bullet "pierced the upper part of my right ear" when shots were fired at Pennsylvania rally " — CBS News, 13 Julai 2024
- (Inggeris) Kevin Breuninger. " Photos show Trump with blood on his face after shots fired at rally " — CNBC, 13 Julai 2024