Wn/ms/Chang'e-6 selamat mendarat di kawasan gelap Bulan
02 Jun 2024 (Sabtu)
Prob bulan China, Chang'e-6 telah selamat mendarat di atas kawasan paling hujung di Bulan, Lembangan Kutub Selatan-Aitken pukul 6:23 pagi waktu tempatan, menurut Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA).
Misi itu bertujuan untuk mendapatkan sampel batuan dan tanah dari kawasan yang jarang dijelajah dan menurut CNSA, ini merupakan misi pertama seumpamanya. Proses mengumpulkan spesimen itu dijangka akan siap dalam masa dua hari sebelum pendarat memulakan proses pelepasan dari kawasan itu yang dijangka berdepan dengan cabaran.
Disebabkan lokasi yang ditetapkan adalah jauh dan tidak pernah mengadap Bumi, komunikasi di antara pendarat dan operator di Bumi menjadi sukar dan bergantung kepada sistem autonomi yang terdapat pada pendarat untuk memulakan pendaratan. Sistem penghindaran halangan visual berautonomi digunakan untuk mengesan halangan secara automatik, dengan kamera bercahaya digunakan bagi membandingkan permukaan yang selamat untuk melakukan pendaratan.
Prob itu akan menggunakan dua kaedah mengumpulkan sampel; kaedah penebukan bagi mendapatkan sampel di bawah permukaan dan kaedah menggunakan lengan robotik bagi mengambil sampel yang berada di atas permukaan Bulan. Sehingga 2 kilogram sampel akan dibawa pulang ke Bumi dan kemudian saintis China akan melakukan kajian, sebelum saintis luar diberi peluang melakukan kajian terhadap sampel itu.
Menurut saintis, sampel yang diambil dari bahagian gelap Bulan itu memiliki potensi untuk mendedahkan bagaimana Bulan itu terbentuk oleh kerana kawah-kawah di situ kurang terdedah dengan aliran lava purba.
China bercadang melakukan tiga misi tanpa krew ke Bulan dekad ini dalam usaha untuk mencari sumber air serta berkemungkinan membina kem pusat tetap di sana.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) "China’s Chang’e-6 probe lands on far side of the moon aiming to return first samples to Earth" — The Guardian, 2 Jun 2024
- (Inggeris) "China moon probe landing successful according to state media" — DW, 2 Jun 2024
- (Inggeris) Georgina Rannard,Laura Bicker. "China says its spacecraft lands on Moon's far side" — BBC, 5 Jun 2024
- (Inggeris) "China's lunar exploration: What to expect from Chang'e-6 mission" — CGTN, 2 Jun 2024