Jump to content

Wn/ms/Laporan dedahkan ratusan nama kampung di wilayah Uyghur ditukar

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Laporan dedahkan ratusan nama kampung di wilayah Uyghur ditukar

20 Jun 2024 (Khamis)

Ratusan kampung yang memiliki nama berkaitan keagamaan atau kebudayaan Uyghur kini ditukar kepada nama yang melambangkan identiti ideologi Parti Komunis China, demikian menurut laporan kajian yang didedahkan pertubuhan Human Rights Watch dengan kerjasama pertubuhan Uyghur Hjelp yang diasaskan di Norway.

Orang Uyghur di Kashgar, China.
Imej: ChiralJon.

Menurut laporan itu, sejumlah 630 nama yang dipercayai merujuk kepada keagamaan atau kepercayaan yang diamal di Uyghur, kebudayaan dan sejarah telah ditukar oleh kerajaan China dalam usaha untuk membawa masuk kebudayaan arus perdana China kepada komuniti Uyghur.

Antara nama kampung yang diubah termasuklah Perkampungan Qutpidin Mazar yang sebelum itu dinamakan sempena ahli Sufi dari Parsi, Qutb al-Din al-Shirazi ditukar kepada Perkampungan Rose Flower pada 2018, Perkampungan Aq Meschit yang bermaksud masjid putih ditukar kepada Perkampungan Perpaduan dan Perkampungan Dutar yang dinamakan berdasarkan kepada sebuah peralatan muzik tradisional Uyghur ditukar kepada Perkampungan Red Flag pada 2022.

Penukaran nama lokasi itu memberi kesan yang mendalam terhadap komuniti Uyghur terutamanya mereka yang baru pulang dari kem pendidikan semula kerana nama lokasi yang dipaparkan tidak lagi sama seperti sebelum mereka dipaksa menjalani kem itu. "Dia kemudiannya berdepan lebih banyak kesukaran untuk mendaftar dalam perkhidmatan kerajaan kerana perubahan nama itu," menurut laporan kajian itu.

Pengasas Uyghur Hjelp, Abduweli Ayup menggesa komuniti antarabangsa memainkan peranan dalam menekan China berhubung situasi di Xinjiang, di mana ribuan penduduk Uyghur kekal dipenjara tanpa sebab yang kukuh. "Kerajaan yang prihatin serta pejabat hak asasi manusia PBB perlu memperhebatkan usaha mereka dalam memastikan kerajaan China bertanggungjawab atas penderaan yang mereka lakukan di wilayah Uyghur," katanya.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog