Wn/ms/Chang'e-6 selamat mendarat di Bumi, kembali dengan sampel tanah dari Bulan
26 Jun 2024 (Rabu)
Prob bulan China, Chang'e-6 selamat mendarat ke Bumi dengan membawa bersama muatan yang mengandungi sampel tanah dan batuan yang diambil dari kawasan paling hujung di Bulan semalam. Itu merupakan kali pertama seumpamanya sampel dari kawasan itu berjaya dibawa kembali dengan selamat.
Menurut Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA), kapsul itu selamat mendarat di kawasan yang ditetapkan pada jam 2:07 petang waktu Beijing di Siziwang Banner, dekat bahagian utara Wilayah Autonomi Mongolia Dalam. Misi Chang'e-6 kemudian diisytiharkan sebagai berjaya selepas mengharungi 53 hari di angkasa lepas.
"Chang’e-6 ialah misi pertama dalam sejarah peradaban manusia yang berjaya membawa pulang sampel dari permukaan Bulan yang paling jauh," kata Long Xiao menerusi emel yang dihantar kepada media The New York Times. "Ini merupakan peristiwa utama bagi para saintis di seluruh dunia."
Kapsul yang mengandungi sampel seberat dua kilogram itu akan dihantar ke Beijing di mana para jurutera akan cuba mengeluarkannya dan diserahkan kepada CNSA. Sampel itu kemudian akan disimpan dan dianalisa, terutamanya melibatkan aktiviti gunung berapi purba yang pernah tercetus di kawasan Bulan itu.
Selain itu, kajian terhadap sampel Bulan dijangka merungkai persoalan mengenai sejarah awal sistem solar seperti peristiwa hentaman asteroid dan komet di Bulan atau asal-usul kehidupan di Bumi. "Ada kemungkinan asteroid (yang melanggar Bulan) itu membawa bersama air dan bahan organik ke Bumi semasa peristiwa Pembedilan Berat Akhir. Kefahaman terhadap sela masa dan butiran terperinci adalah penting untuk membongkar asal-usul kita," menurut pernyataan organisasi bukan keuntungan, Planetary Society dalam menjelaskan misi Chang'e-6 di laman sesawangnya.
Berita berkaitan
[edit | edit source]Chang'e-6 selamat mendarat di kawasan gelap Bulan
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " China's Chang'e-6 brings back first samples from moon's far side to Earth " — CGTN, 25 Jun 2024
- (Inggeris) " China Becomes First Country to Retrieve Rocks From the Moon’s Far Side " — The New York Times, 25 Jun 2024
- (Inggeris) Mike Wall. " China returns samples from the moon's far side in historic 1st (video) " — Space.com, 25 Jun 2024
- (Inggeris) Jason Davis. " Chang’e-6 launch: What to expect " — The Planetary Society, 29 April 2024