Wn/ms/Agong berkenan masyhurkan Masjid Sultan Ibrahim di Melaka
15 Jun 2024 (Sabtu)
MELAKA - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat dan merasmikan pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim di Tanjung Bidara, Melaka semalam. Baginda tiba di Melaka sempena lawatan rasmi selama tiga hari.
Baginda tiba di masjid itu pukul 1 tengahari dan disambut oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Ribuan jemaah yang hadir di masjid itu rata-rata teruja kerana dapat melihat Agong mereka dengan lebih dekat.
Baginda kemudian berkenan menandatangani plak pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim di perkarangan masjid sebelum menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. Baginda turut mengurniakan cek bakul makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada Ab Rauf yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di Melaka.
Masjid Sultan Ibrahim sebelum itu dikenali sebagai Masjid Nur Jannatul Bahri Kampung Ayer Hitam Pantai, siap dibina pada 2021 di atas tanah yang diwakafkan Allahyarham Haji Bahri. Dibina dengan kos sebanyak RM4.5 juta, masjid itu mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid itu merupakan masjid pertama di Melaka yang dimasyhurkan dengan nama Sultan Ibrahim selepas baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 awal tahun ini.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) Amir Mamat. "Agong berkenan masyhur Masjid Sultan Ibrahim" — Harian Metro, 14 Jun 2024
- (Melayu) "Agong berkenan masyhur Masjid Sultan Ibrahim" — Buletin TV3, 14 Jun 2024
- (Inggeris) Mohd Faiz Abu Hasan. "Agong berkenan masyhur Masjid Sultan Ibrahim" — Melaka Hari Ini, 14 Jun 2024