Wn/ms/Tidur dan menang, tingkatkan kesedaran kepentingan tidur di Korea Selatan
19 Mei 2024 (Ahad)
Di Korea Selatan, terdapat satu pertandingan yang mungkin mudah bagi seseorang untuk melakukannya. Pertandingan tidur sekejap atau power nap contest merupakan acara pertandingan yang agak berlainan kerana peserta yang terlibat perlu tidur sekejap selama 1 jam 30 minit sebelum menamatkan acara.

Imej: Yoshikazu TAKADA.
Acara itu diadakan di Taman Sungai Han semalam, mengumpulkan ratusan peserta yang memakai penutup mata bagi memudahkan mereka untuk tidur. Semasa peserta tidur, bacaan kadar degupan jantung akan diambil dan peserta yang mendapat angka perbezaan kadar degupan jantung sebelum tidur dan selepas bangun akan diisytiharkan sebagai pemenang; menunjukkan pemenang itu mendapat tidur yang berkualiti.
Pertandingan itu dianjurkan bertujuan untuk menaikkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya mendapatkan tidur dan rehat yang berkualiti dalam mendepani keadaan sekeliling yang semakin mencabar setiap hari. “Negara kita terkenal dengan masyarakat yang berdaya saing, dan kepentingan mendapatkan kualiti tidur nampaknya masih lagi tidak diendahkan,” kata Son Ji-hong, 24 tahun yang menyertai pertandingan ini dengan membawa bantal leher dan sepasang cermin mata.
Masalah tidur yang tidak mencukupi merupakan antara masalah paling utama di Korea Selatan. Menurut laporan Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan, rakyat Korea Selatan merekodkan kadar masa tidur yang paling sedikit berbanding dengan negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Kadar tidur yang direkodkan di Korea Selatan ialah sebanyak 7 jam 41 minit sahaja, lebih rendah berbanding dengan purata masa tidur negara-negara OECD iaitu 8 jam 22 minit.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Vikrant Singh. " ‘You sleep you win’: Hundreds gather in South Korea for ‘power nap’ contest " — Wion News, 19 Mei 2024
- (Inggeris) "The contest everyone wants to win: South Korea’s ‘Power Nap’ competition" — DD News, 19 Mei 2024
- (Inggeris) "Power Nap Competition Held In South Korea And Where Do We Sign Up" — 10 Play, 19 Mei 2024
- (Inggeris) " South Korea's Power Nap competition - in pictures " — The National, 19 Mei 2024