Jump to content

Wn/ms/Korea Utara hantar belon ke Korea Selatan, mengandungi sampah dan najis

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Korea Utara hantar belon ke Korea Selatan, mengandungi sampah dan najis

29 Mei 2024 (Rabu)

Korea Utara dilaporkan menghantar kira-kira 260 belon udara yang membawa "sampah-sarap" merentasi sempadan Korea Selatan.


Imej: KOREA.NET.

Pasukan ketenteraan Korea Selatan menerbitkan beberapa foto pada Rabu, yang menunjukkan sampah-sarap yang bertaburan sekitar belon udara yang jatuh, serta terdapat sebuah beg yang dilabelkan dengan perkataan "najis" dalam salah satu daripada foto-foto itu. Pasukan itu mula menyedari jumlah belon udara yang agak besar mula tiba dari Korea Utara pada Selasa malam, mengesan sehingga 150 belon pada Rabu pagi tadi.

Belon yang dipercayai membawa sampah-sarap itu kini sedang dianalisis oleh agensi kerajaan, kata Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS) sambil menambah, pasukan ketenteraan sedang bekerjasama dengan pegawai dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Setakat ini, belon-belon udara itu telah jatuh di lapan daripada sembilan wilayah di Korea Selatan. Mereka juga turut melakukan siasatan jika terdapat sebarang risalah mengenai propaganda Korea Utara dalam longgokan sampah itu.

“Tindakan Korea Utara ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan sangat mengancam keselamatan rakyat kami,” menurut JCS. “Kesemua akibat yang terhasil daripada belon-belon Korea Utara ini ditanggung sepenuhnya oleh Korea Utara, dan kami secara tegas memberi amaran kepada Korea Utara untuk menghentikan segera tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan jijik ini.”

Pada lewat Selasa, penduduk yang tinggal di bahagian utara Seoul dan di wilayah berdekatan dengan sempadan menerima pesanan khidmat ringkas daripada pihak berkuasa tempatan yang menyarankan agar "elak daripada melakukan aktiviti luar." Penduduk juga disarankan untuk membuat laporan di balai polis atau pusat ketenteraan jika mengesan sebarang "objek tak dikenali."

Untuk rekod, Korea Utara dan Korea Selatan masih lagi berperang semenjak Perang Korea yang tercetus pada tahun 1950-an. Kedua-dua pihak saling menggunakan belon udara bagi menyebarkan kempen propaganda masing-masing. Menurut kenyataan yang dikeluarkan aktivis Fighters for a Free North Korea, mereka telah menghantar 20 belon udara mengandungi 300,000 risalah yang mengutuk Kim Jong Un dan 2,000 buah storan USB yang mengandungi muzik video K-pop. Perkara itu mengundang kemarahan kerajaan Korea Utara, oleh kerana polisi kebebasan maklumat yang sangat ketat dan dikawal rapi.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog