Wn/ms/Seatrium terima kontrak pembinaan dua buah FPSO dari Petrobras
27 Mei 2024 (Isnin)
Syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Brazil, Petrobras telah menganugerahkan kontrak kepada Seatrium bagi projek pembinaan dua buah kapal Pengeluaran, Penyimpanan dan Pemunggahan Terapung (FPSO) menerusi tender antarabangsa terbuka.
Kontrak yang bernilai 8.15 bilion dolar Amerika itu adalah untuk membina FPSO P-84 dan P-85, di mana kedua-dua buah kapal itu akan digerakkan ke kawasan Atapu dan Sépia. Kapal P-84 dan P-85 mampu mengeluarkan sehingga 225,000 tong minyak setara setiap hari, selain mampu memproses sehingga 10 juta meter padu gas setiap hari.
Pembinaan kapal P-84 dan P-85 dijadualkan bermula suku pertama tahun 2025, dengan penghantaran dijangkakan pada tahun 2029. Ianya akan dibina di limbungan kapal Seatrium di Brazil, China dan Singapura, dengan kandungan komponen tempatan sebanyak 20% untuk P-84 dan 25% untuk P-85.
Berat kesemua modul kapal-kapal itu dianggarkan sebanyak 60,000 tan. Rangka kapal dan unit kediaman akan dihantar ke limbungan kapal di Singapura dan akan diintegrasikan bersama modul bahagian atas kapal, kemudian proses pentauliahan akan dijalankan sebagai proses akhir sebelum dihantar ke kawasan yang ditetapkan.
Terletak di bahagian barat Lembangan Santos, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara Brazil, Rio de Janeiro, Atapu dan Sépia sedang beroperasi dengan dua buah platform, platform P-70 dan kapal FPSO Carioca yang mula mengeluarkan minyak dan gas pada tahun 2021.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Petrobras awards $8.15bn FPSO construction contract to Seatrium " — Offshore Technology, 27 Mei 2024
- (Inggeris) " Petrobras (PBR) Awards $11B Contract to Seatrium for FPSOs " — Zacks, 27 Mei 2024
- (Inggeris) " Seatrium secures FPSO newbuild contracts P-84 and P-85 from Petrobras " — OGV Energy, 27 Mei 2024