Jump to content

Wn/ms/Jaringan lewat Endrick buatkan penyokong Mexico kecewa

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Jaringan lewat Endrick buatkan penyokong Mexico kecewa

9 Jun 2024 (Ahad) Gol minit ke-96 dari pemain muda Brazil, Endrick memberikan kemenangan kepada pasukan Brazil dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Mexico awal pagi semalam.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Kyle Field dekat Texas, Amerika Syarikat itu adalah sebahagian daripada persediaan menghadapi kejohanan Copa America 2024. Brazil bermula garang pada separuh masa pertama apabila pemain Arsenal, Gabrriel Martinelli hampir menjaringkan gol pertama ketika masa baru sahaja memasuki 30 saat, namun tidak berjaya menyudahkan hantaran lintang itu.

Pada minit ke-5, Brazil berjaya membuka jaringan menerusi gerakan menarik dari Savio, seterusnya disudahkan Andres Pereira yang mudah merembat bola masuk ke gawang. Tiada jaringan tambahan oleh kedua-dua pasukan setelah tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua pula, Mexico cuba memberi tekanan namun Brazil berjaya menambah jaringan pada minit ke-54, apabila Martinelli yang tidak dikawal pemain lawan mudah menolak bola masuk ke gawang hasil hantaran di depan gol dari Yan Couto. Mexico seakan tidak mahu pulang dengan tangan kosong akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-73 apabila hantaran lintang dari pemain gantian Alexis Vega disudahkan pemain Julián Quiñones.

Strategi pertukaran pemain yang digunakan jurulatih Mexico, Jaime Lozano tampak berkesan apabila seorang lagi pemain gantian Guillermo Martínez memberikan impak kepada perlawanan itu setelah dia menjaringkan gol pada minit ke-93 bagi membolehkan Mexico seri 2-2 dengan Brazil.

Namun begitu, Vinicius Jr. yang baru sahaja memenangi kejohanan Champions League bersama Real Madrid itu melakukan satu hantaran menarik dan membolehkan Endrick menanduk bola itu menerjah gawang. Jaringan pada minit ke-96 itu mencetuskan sorakan padu ribuan penyokong Brazil yang hadir menyaksikan perlawanan.

Keputusan penuh, Brazil menewaskan Mexico dengan jaringan 3-2.

Selepas ini, Brazil dijadualkan menentang pasukan kebangsaan Amerika Syarikat pada 12 Jun. Manakala pasukan Mexico pula akan ke San Diego bagi menjalani kem pra musim kejohanan.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog