Jump to content

Wn/ms/Banjir besar di Brazil cetuskan kebimbangan risiko penyakit kencing tikus

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Banjir besar di Brazil cetuskan kebimbangan risiko penyakit kencing tikus

26 Mei 2024 (Ahad)

Sao Paulo - Pihak berkuasa tempatan Rio Grande do Sul mengesahkan sebanyak 54 kes direkodkan setakat ini berkaitan dengan jangkitan leptospirosis bawaan air selepas kawasan itu dilanda banjir besar penghujung April dan Mei. Manakala empat orang dilaporkan mati akibat komplikasi yang disebabkan penyakit itu. Kesemua mangsa adalah lelaki dalam lingkungan umur 33 hingga 67 tahun yang tinggal di lokasi berbeza dan pernah bersentuhan dengan air yang tercemar.

Semasa operasi menyelamat di kejiranan Laranjal, Rio Grande do Sul.
Imej: Prefeitura de Pelotas.

Pakar menjangkakan kes jangkitan akibat penyakit bawaan air itu akan meningkat dengan mendadak selepas banjir, berpunca daripada air kotor dari pembentung sekitar telah bercampur dengan air banjir. Selain itu, banjir besar yang berlaku telah menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur kesihatan kritikal, termasuklah lebih kurang 3,000 pusat kesihatan yang menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan. Walaupun begitu, Jabatan Kesihatan setempat sedang berusaha untuk menawarkan rawatan profilaksis untuk penyakit berjangkit dan panduan untuk mengurangkan pendedahan risiko pendedahan kepada penduduk yang ingin pulang ke kediaman mereka.

Leptospirosis adalah salah satu daripada jangkitan yang paling membimbangkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana penduduk mungkin berisiko tinggi untuk dijangkiti akibat pendedahan kepada kawasan banjir. Jangkitan itu berpunca daripada sejenis bakteria "leptospira" yang selalunya datang daripada air kencing tikus. Manusia yang dijangkiti bakteria itu biasanya mengalami gejala demam, loya tekak, muntah dan sengal otot. Jika tidak dibendung, jangkitan itu akan menyebabkan simptom yang lebih serius seperti kerosakan buah pinggang, kegagalan hati, meningitis, gangguan pernafasan dan dalam beberapa kes lain membawa kepada kematian.

"Kesan leptospirosis yang lebih teruk boleh dibendung, jika mengalami simptom seperti demam, rasa sakit di bahagian belakang dan betis, mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera," kata Menteri Kesihatan, Nísia Trindade. Kementerian Kesihatan sedang menggerakkan kempen untuk memvaksinasikan mangsa banjir dengan influenza dan Covid-19, selain menggalakkan mereka mendapatkan vaksin untuk tetanus, hepatitis A dan rabies.

Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog