Wn/ms/Remaja pandu Porsche secara melulu, merempuh dua jurutera perisian di Pune
21 Mei 2024 (Selasa)
Seorang remaja berumur 17 tahun dipercayai memandu kereta jenis Porsche Taycan dan melanggar 2 orang jurutera perisian hingga menyebabkan maut serta merempuh seorang yang sedang menaiki basikal.

Imej: Alexander Migl.
Insiden itu berlaku di Pune, India pada malam Sabtu pukul 3:15 pagi waktu tempatan. Dua orang jurutera perisian, Aneesh Awadhiya dan Ashwini Koshta, masing-masing berumur 24 tahun berasal dari Madhya Pradesh dan bekerja di Pune, maut di tempat kejadian.
Menurut saksi kejadian, kereta itu dipandu oleh seorang remaja dengan laju sekitar 200 kilometer sejam dan tiada nombor pendaftaran kereta dipaparkan. Laporan polis telah dibuat oleh seorang rakan kepada mangsa yang maut dalam kejadian ini.
Mengikut laporan polis itu, sekumpulan kawan dalam perjalanan pulang menaiki motosikal selepas mereka menghadiri parti di sebuah restoran. Setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta mewah yang sedang dipandu laju merempuh salah satu daripada motosikal itu. Impak dari rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di udara sebelum jatuh di atas kereta berdekatan.
Selepas merempuh motosikal itu, kereta itu kemudian melanggar bahagian sisi pembahagi jalan.
Amitesh Kumar, Komisioner Polis Bandar Pune berkata, tertuduh dalam kes ini adalah melibatkan remaja di bawah umur dan didakwa atas kesalahan membunuh mengikut peruntukan Seksyen 304 Kanun Keseksaan India. Polis juga melibatkan peruntukkan di bawah seksyen lain dan Akta Kenderaan Bermotor kepada tertuduh.
Berikutan insiden itu, satu video telah tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan orang awam membelasah pemandu yang sedang berusaha untuk keluar dari kereta tersebut.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Two killed in Pune after speeding Porsche car hits motorcycle, minor held " — Financial Express, 19 Mei 2024
- (Inggeris) " Pune Porsche crash: VIP privilege for Pune builder's son? Top focus on 5ive Live " — India Today, 20 Mei 2024
- (Inggeris) Sunilkumar Singh. " 17-Year-Old Crashes Speeding Porsche Into Bike In Pune, 2 Killed: Cops " — NDTV, 20 Mac 2024
- (Inggeris) Gitesh Shelke. " Teen behind the wheel: Porsche's deadly ride in Pune " — The Times of India, 20 Mei 2024