Wn/ms/Morgan Spurlock, pengarah dokumentari "Super Size Me" meninggal dunia
25 Mei 2024 (Sabtu)
Morgan Spurlock, seorang pengarah dokumentari popular seperti Super Size Me dan Where in the World Is Osama bin Laden? meninggal dunia pada Khamis di New York. Dia berusia 53 tahun.
Berita itu disahkan keluarganya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. "Ini adalah hari yang sedih, di mana kami mengucapkan selamat jalan kepada abang saya, Morgan. Morgan banyak memberikan sumbangan berbentuk kesenian, idea dan kemurahan hati. Dunia telah kehilangan seorang yang benar-benar kreatif dan istimewa. Saya sangat berbangga dapat bekerja bersamanya," kata adiknya, Craig Spurlock.
Populariti Morgan Spurlock meningkat selepas dia menerbitkan sebuah dokumentari yang berjudul Super Size Me yang menampilkan dirinya melakukan eksperimen sosial dengan hanya menikmati juadah dari McDonald's sahaja selama 30 hari berturut-turut. Dia juga tidak melakukan senaman dengan kerap bagi menyamai keadaan orang Amerika pada ketika itu yang kurang bersenam.
Dilahirkan dan dibesarkan di West Virginia, Morgan berjaya menggenggam segulung ijazah Sarjana Muda dalam Seni Halus dari Universiti New York. Dia pernah berkahwin dengan Alexandra Jamieson dan Sara Bernstein. Hasil perkahwinannya itu, dia mempunyai dua orang anak lelaki; Laken dan Kallen.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Andrew Pulver. "Super Size Me director Morgan Spurlock dies aged 53" — The Guardian, 24 Mei 2024