Jump to content

Wn/ms/Kerajaan Laos tandatangan perjanjian konsesi projek janakuasa hidro berkapasiti 124MW

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Kerajaan Laos tandatangan perjanjian konsesi projek janakuasa hidro berkapasiti 124MW

21 Jun 2024 (Jumaat)

VIENTIANE - Satu perjanjian konsesi telah ditandatangani bersama kerajaan Laos dan pelabur bagi membangunkan projek janakuasa hidro berkapasiti 124 MW dalam usaha memperkenalkan tenaga baharu yang lebih lestari serta mengeksport lebihan tenaga ke negara jiran.

Projek pembinaan yang menelan kos sebanyak US$360.6 juta itu dijadualkan siap selepas empat atau lima tahun, dengan operasi komersial dijangka bermula seawal 2028. Janakuasa itu mampu menjana sehingga 576GWh dalam setahun dan akan dijual ke negara Vietnam selain meningkatkan jumlah grid kuasa negara. Ia akan dibangunkan dalam satu fasa pembinaan.

Projek janakuasa hidro Nam Neun 1 itu terletak di wilayah Xieng Khuang dan Huaphan di bahagian utara Laos. Perjanjian itu ditandatangani Timbalan Menteri Perancangan dan Pelaburan Dr Sthabandith Insisiengmay bersama Pengarah Urusan syarikat Nam Neun 1 Hydropower Sole Co Ltd, Sounthone Sabandith menerusi satu majlis yang telah diadakan pada Rabu.

Sounthone berkata projek itu akan menekankan kepada pemuliharaan hutan dengan memperuntukkan sejumlah dana bagi projek perhutanan semula. Projek perhutanan semula itu pula menurut Pengurus Projek Soulideth Baomanikhot, bukan sahaja dilakukan sebagai mengimbangi kemusnahan pokok akibat daripada pembinaan loji itu, malah membantu usaha kerajaan dalam meningkatkan litupan hutan sebanyak 70 peratus daripada keluasan negara.

Kerajaan pula memperoleh pendapatan daripada cukai keuntungan yang dikenakan kepada kontraktor pembinaan bersama cukai buruh, selain mencipta pelbagai peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog