Jump to content

Wn/ms/Firma Rusia bakal membina loji tenaga nuklear di Uzbekistan

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Firma Rusia bakal membina loji tenaga nuklear di Uzbekistan

30 Mei 2024 (Khamis)

Hasil jalinan kerjasama dalam tenaga nuklear di antara Uzbekistan dan Rusia menyaksikan satu perjanjian telah dimeterai Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev bagi pembinaan stesen janakuasa nuklear berskala kecil pertama di Asia Tengah pasca Soviet yang dijangka akan bermula pada musim panas.

Putin dan Mirziyoyev sebelum Perarakan Hari Kemenangan 2024.
Imej: Kremlin.ru.

Putin berkata pada Isnin, Rusia akan menyumbang sebanyak $400 juta ke dalam tabung pelaburan bersama berjumlah $500 juta yang akan digunakan bagi menanggung kos pembinaan itu. Mengenai keputusan itu, Putin berkata beliau melihat persekitaran politik yang seimbang serta keadaan ekonomi Uzbekistan menarik perhatiannya untuk melabur.

Atomstroyexport, anak syarikat Rosatom, firma nuklear Rusia bersama syarikat Uzbekistan, UzAtom akan membina sehingga enam buah reaktor dari jenis RITM-200N dengan kapasiti sebanyak 55 megawatt setiap satu di wilayah Jizzakh. Sebagai perbandingan, pada awal perjanjian jalinan kerjasama dalam bidang tenaga nuklear yang ditandatangani lewat 2017, perbincangan banyak berkisarkan kepada pembinaan reaktor nuklear menggunakan tekanan air berkapasiti 2.5 gigawatt.

"Hampir kesemua negara-negara utama dunia memastikan keterjaminan sumber tenaga dan pembangunan lestari dengan bantuan sumber tenaga nuklear. Dengan mengambil kira prospek Uzbekistan yang baru memasuki fasa pembangunan, projek ini sangat penting kepada negara kita, yang memiliki simpanan rizab Uranium yang agak tinggi dan mengeskportnya ke luar negara," kata Mirziyoyev.

Untuk rekod, reaktor jenis RITM-200N ialah reaktor yang menggunakan tekanan air dan adaptasi daripada teknologi yang digunakan dalam sektor marin bagi pemasangan di daratan. Reaktor RITM-200 yang dibangunkan berasaskan kepada 200N telah beroperasi dari kapal pemecah bongkah ais yang berada di barat Lautan Artik. Reka bentuk reaktor RITM-200N telah diluluskan pada tahun 2023 dan apabila beroperasi, jangka hayatnya mampu bertahan sehingga 60 tahun dengan enam kali penyelenggaraan di bahagian teras nuklear.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog