Wn/ms/Presiden Perancis umum gantung cadangan reformasi pilihanraya di New Caledonia
14 Jun 2024 (Jumaat)
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan penggantungan sementara cadangan kontroversi yang melibatkan pembaharuan kepada proses pengundian di New Caledonia yang telah menyebabkan rusuhan besar-besaran tercetus sejak beberapa minggu lalu.
"Rang undang-undang berkaitan New Caledonia... saya telah memutuskan untuk menggantungnya," kata Macron semalam. "Kita tidak boleh biarkan kesamaran dalam tempoh ini. Ia perlu digantung supaya dapat memberikan sokongan penuh kepada proses dialog di lapangan dan mengembalikan pemerintahan."
Cadangan pembaharuan itu ditentang Puak Kanak, yang membentuk kira-kira 41 peratus populasi di New Caledonia disifatkan sebagai penghalang kepada gerakan untuk mencapai kemerdekaan yang sedang diusahakan sejak bertahun lalu. Ia berikutan cadangan itu membenarkan penduduk yang telah mendiami New Caledonia sekurang-kurangnya 10 tahun diberikan hak mengundi dan pemimpin tempatan khuatir undi dari ribuan penduduk bukan pribumi bakal menjadi penentu kepada kepimpinan yang dipilih di sana.
Sebelum ini, Macron melakukan lawatan ke New Caledonia di tengah-tengah krisis rusuhan yang sedang berlaku yang telah menyebabkan kematian seramai sembilan orang. Beliau kemudian berjanji cadangan pembaharuan itu tidak akan diwartakan atas paksaan dan akan dinilai semula dalam masa sebulan.
Sementara itu, Kerajaan Perancis telah melanjutkan perintah berkurung semalaman di seluruh kepulauan itu sehingga 17 Jun.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Macron suspends controversial voting reforms in New Caledonia after deadly unrest " — The Guardian, 13 Jun 2024
- (Inggeris) " Macron ‘suspends’ New Caledonia reform that sparked deadly riots " — Malay Mail, 12 Jun 2024
- (Inggeris) Patrick Martin. " French President Emmanuel Macron says voting changes proposed for New Caledonia have been 'suspended' " — ABC News, 12 Jun 2024