Wn/ms/Laos bakal tubuhkan bank untuk simpanan emas, pelbagaikan dana rizab negara
9 Ogos 2024 (Jumaat)
VIENTIANE - Satu perjanjian telah ditandatangani Kementerian Kewangan mewakili kerajaan dan syarikat PTL Holding Co. bagi menubuhkan Bank Bulion Laos sebagai dana rizab untuk ekonomi dan sistem kewangan negara.
Dengan penubuhan bank itu, kerajaan menjangkakan ia bakal menyokong dasar monetari dan fiskal, mengukuhkan mata wang Kip, memudahkan pengumpulan dana, dan meningkatkan kecairan untuk pembangunan negara yang berkesan. Ia merupakan salah satu komitmen kerajaan dalam meningkatkan dana rizab emas serta memperkukuhkan kestabilan kewangan negara.
Bank itu akan memulakan operasi Fasa 1 pada September manakala rangkaian penuh perkhidmatannya mula ditawarkan menjelang November.
Berucap semasa sesi tersebut, Menteri Kewangan Santiphab Phomvihane berkata penubuhan bank itu diharap dapat menangani krisis ekonomi dan gangguan kewangan yang sedang dihadapi. "Penubuhan Lao Bullion Bank Limited adalah terjemahan luar biasa dan pelaksanaan kepada hala tuju dan visi Parti dan kerajaan Laos, khususnya terhadap rancangan pembangunan sosio-ekonomi," katanya.
Pengerusi dan Pengasas PTL Holding Co., Ltd., Dr Chanthone Sitthixay pula berkata penubuhan bank adalah berdasarkan kepada rancangan kerajaan untuk mewujudkan limpahan sumber emas dalam memastikan keselamatan perbendaharaan dan kewangan negara selain menstabilkan ekonomi. "Perkara ini akan menarik perhatian pelabur emas dan entiti undang-undang sama ada di Laos atau di negara asing untuk melakukan deposit emas mereka dan menggunakan perkhidmatan lain di bank itu," katanya.
Untuk rekod, Laos adalah salah satu negara utama di dunia dari segi perlombongan dan pengeluaran emas, menduduki tempat ke-3 di ASEAN dan ke-6 di Asia. Tinjauan awal menganggarkan kehadiran kira-kira 500 hingga 1,000 tan rizab emas yang belum dilombong. Rizab emas yang terkandung itu mampu meningkatkan nilai rizab negara secara keseluruhan di antara 50 bilion hingga 76 bilion dolar A.S.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Govt, PTL Holding co-invest in Lao Bullion Bank " — Vientiane Times, 9 Ogos 2024
- (Inggeris) " Laos to establish bullion bank " — Vietnam Investment Review, 9 Ogos 2024