Jump to content

Wn/ms/Keputusan menggunakan lagu kebangsaan lama Nigeria dipertikaikan

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Keputusan menggunakan lagu kebangsaan lama Nigeria dipertikaikan

01 Jun 2024 (Sabtu)

Keputusan Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu menandatangani rang undang-undang yang mengembalikan semula lagu kebangsaan Nigeria ketika era kemerdekaan negara pada 1960 tidak disenangi ramai pihak. Kadar inflasi yang meningkat serta krisis ekonomi yang semakin meruncing antara sebab ramai yang mempertikaikan keputusan presiden itu.

Nigeria.
Imej: Pete unseth.

Menurut Tinubu, keputusan menggunakan lagu kebangsaan lama Nigeria adalah atas dasar meraikan kepelbagaian yang terdapat di Nigeria dan juga "mewakili kesemua kaum dan bagaimana kita komited dalam bersatu sebagai satu persaudaraan." Dia juga mengkritik pihak yang mempersoalkan kewajaran menggunakan lagu yang digubal ekspatriat British itu.

Namun begitu, menurut aktivis kemanusiaan Deji Adeyanju, kerajaan yang diterajui Tinubu tidak begitu serius dalam menyelesaikan kemelut ekonomi yang makin mencabar ketika ini. "Dia (Tinubu) memiliki satu dari pasukan ekonomi yang paling teruk sekali. Sepatutnya menjadi keutamaan dan kebimbangan pihak kerajaan, namun mereka menghabiskan masa dengan bercakap mengenai lagu kebangsaan lama. Bagaimana perkara itu boleh menyelesaikan masalah inflasi?"

Di media sosial, kata kunci #notmynationalanthem (bukan lagu kebangsaan saya) telah tular setelah video yang diterbitkan di X memaparkan aktivis Aisha Yesufu kelihatan duduk ketika semua hadirin di situ berdiri menyanyikan lagu kebangsaan Nigeria yang baru dimaktubkan dalam sebuah acara baru-baru ini. Aksi itu menerima pelbagai respon yang berbeza; ada yang mengatakan Yesufu sepatutnya menghormati lagu kebangsaan yang sedang dimainkan. Walaupun begitu, beberapa netizen menyokong tindakan Yesufu atas alasan kerajaan tidak peduli dengan pelbagai masalah yang melanda negara itu.

Sebagai panduan, selepas Nigeria mencapai kemerdekaan dari pihak British pada 1960, mereka menggunakan lagu kebangsaan yang bertajuk “Nigeria, We Hail Thee” yang digubal oleh Lillian Jean Williams. Pada 1978, lagu kebangsaan Nigeria bertukar di mana lagu baru itu digubal oleh sekumpulan rakyat Nigeria yang diberi nama “Arise O Compatriots”.

Rencana ini mengandungi bahan daripada "Return to old national anthem sparks debate in Nigeria" oleh Berita VOA yang berada dalam domain awam.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog