Wn/ms/Banjir makin buruk, jumlah mangsa meningkat lebih 25,000 orang

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Banjir makin buruk, jumlah mangsa meningkat lebih 25,000 orang

26 Disember 2023 (Selasa)



Kuala Lumpur – Bencana banjir di empat negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang bertambah buruk apabila mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 25,938 orang sehingga jam 4 petang Selasa.

Menurut Portal Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir tersebut keseluruhannya membabitkan 7,365 keluarga yang terjejas di 19 buah daerah di ketiga-tiga negeri Pantai Timur dan Selangor.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 15,145 orang daripada 4,406 keluarga setakat jam 4 petang berbanding 12,178 orang daripada 3,746 keluarga yang dicatatkan jam 6 pagi.

Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu terjejas banjir selepas Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai serta kesemua mangsa sedang berlindung di 92 PPS di lapan jajahan itu.

Banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di tujuh daerah terus meningkat kepada 10,199 orang daripada 2,811 keluarga setakat 4 petang Selasa berbanding 8,397 orang daripada 2,267 keluarga pada jam 6 pagi.

Tujuh daerah terjejas banjir termasuklah Dungun, Setiu, Besut, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan yang paling terjejas, Hulu Terengganu.

Di Pahang, seramai 590 mangsa banjir daripada 147 keluarga direkodkan berada di 13 PPS di daerah Raub dan Lipis berbanding 534 mangsa daripada 125 keluarga pada sebelah pagi.

Di Selangor pula, empat mangsa daripada satu keluarga dipindahkan membabitkan satu PPS dibuka di Kuala Langat.

Sumber[edit | edit source]