Jump to content

Wn/ms/Rangkuman perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 Asia Tenggara

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Rangkuman perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 Asia Tenggara

12 Jun 2024 (Rabu) Malam tadi berlangsungnya perlawanan bagi kelayakan ke Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 yang melibatkan beberapa pasukan kebangsaan dari Asia Tenggara. Sebelum perlawanan, pasukan Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam memiliki peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Piala Dunia FIFA 2026
Imej: FIFA.

Dalam Kumpulan C, pasukan Thailand melayan kunjungan Singapura di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok. Thailand memerlukan jaringan besar untuk mengatasi China dengan kelebihan jaringan. Namun, mereka hanya mampu menjaringkan satu gol di separuh masa pertama menerusi jaringan Suphanat Mueanta hasil hantaran pendek di depan gol dari Chanatip Songkrasin.

Memasuki separuh masa kedua, Singapura membuka jaringan menerusi rembatan jauh yang disudahkan Ikhsan Fandi pada minit ke-57. Tersentak dengan jaringan itu, Thailand menggandakan usaha mereka bagi menambah jaringan dan hasilnya dua gol dijaringkan menerusi pemain Poramet Arjvirai pada minit ke-79 dan Jaroensak Wonggorn pada minit ke-86. Thailand menang 3-1 dalam perlawanan itu, namun tidak cukup untuk mara ke pusingan seterusnya kerana rekod pertemuan di antara Thailand dan China lebih memihak kepada China.

Dalam Kumpulan D, Malaysia melayan kunjungan Taipei Cina di Stadium Nasional Bukit Jalil. Malaysia juga memerlukan jaringan yang besar serta mengharapkan pasukan Kyrgyzstan kalah kepada Oman untuk mara ke pusingan seterusnya. Namun begitu, misi Pan Gon untuk mendapatkan jaringan pendahulu tidak kesampaian apabila Taipei Cina membuka jaringan di separuh masa pertama menerusi pemain Yu Yao-hsing pada minit ke-20, hasil dari serangan balas pasukan.

Memasuki separuh masa kedua, Malaysia menggandakan asakan di kubu Taipei Cina dan hasilnya Safawi Rasid berjaya membuka jaringan untuk Malaysia pada minit ke-53, apabila rembatan bola yang dilakukannya tidak berjaya ditampan dengan baik oleh Pan Wen-cheh. Disusuli pula dengan dua lagi gol Malaysia oleh pemain naturalisasi Paulo Josué minit ke-69 dan pemain gantian Muhammad Adib Abdul Ra'op pada minit ke-96. Malaysia sah tidak layak ke pusingan seterusnya selepas Kyrgyzstan seri 1-1 menentang Oman yang berlangsung lewat malam tadi.

Dalam Kumpulan F, Indonesia dan Vietnam masing-masing cuba merebut tempat kedua yang juga menawarkan tempat automatik ke Piala Asia 2027. Indonesia melayani kunjungan Filipina di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi. Thom Haye membuka jaringan untuk Indonesia pada minit ke-32 hasil dari rembatan luar kotak penalti. Mereka kemudian menambah jaringan pada separuh masa kedua apabila sepakan percuma yang diambil Nathan Tjoe-A-On berjaya ditanduk masuk Rizky Ridho. Masa tamat dengan Indonesia memenangi perlawanan dengan jaringan 2-0, seterusnya mengesahkan tempat ke pusingan ketiga setelah memungut 10 mata.

Stadium Antarabangsa Basra (2013)
Imej: Yesar Al-Maleki.

Vietnam pula berkunjung ke Stadium Antarabangsa Basra bagi perlawanan menentang Iraq namun pada ketika itu peluang untuk mara ke peringkat seterusnya sudah tertutup selepas Indonesia merekodkan kemenangan sebelum perlawanan ini berlangsung. Hussein Ali berjaya membuka jaringan untuk Iraq pada minit ke-12 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti. Tiada jaringan tambahan oleh kedua-dua pasukan setelah tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tiada jaringan dilakukan kedua-dua pasukan sehinggalah pada minit ke-71 apabila Ali Jasim merembat bola dari luar kawasan penalti menerjah gawang Vietnam yang dikawal Nguyen Filip. Hanya pada minit ke-84 Vietnam berjaya membuka jaringan menerusi rembatan Phạm Tuấn Hải yang berjaya menewaskan penjaga gol Jalal Hasan. Memasuki masa tambahan separuh masa kedua, Iraq berjaya menambah lagi satu jaringan hasil sentuhan Aymen Hussein pada minit ke-92 apabila bola yang dirembat Akam Hashem terkena tiang gol.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog