Wn/ms/Philemon Yang dilantik sebagai Presiden Perhimpunan UNGA ke-79
7 Jun 2024 (Jumaat) Philemon Yang, bekas Perdana Menteri Cameroon dipilih secara sebulat suara sebagai Presiden bagi Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 yang akan memulakan tugasnya pada September ini. Yang menggantikan Denis Francis dari Trinidad dan Tobago setelah tamat penggal jawatannya apabila UNGA memulakan sesi yang dijadualkan bermula 10 September di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Francis mengucapkan tahniah kepada Yang atas pelantikkan ke jawatan itu. "Kepimpinan teguh beliau juga telah diterjemahkan dengan komitmen yang berterusan terhadap dialog, kerjasama dan keterangkuman - prinsip yang sangat diperlukan bagi membimbing tugas itu."
Menerusi ucapan Yang pada Khamis setelah dipilih sebagai Presiden, beliau berkata ketegangan geopolitik yang berlaku berterusan menyemarakkan rasa ketidakpercayaan dari kalangan negara-negara dan mencetuskan perlumbaan pembangunan senjata moden.
"Di sebalik perbezaan dan kepelbagaian kita, kita harus bertindak bersama untuk mempromosikan keamanan, memastikan tiada peperangan, mengelakkan konflik demi semangat perpaduan," kata Yang. "...sepanjang tempoh jawatan saya, saya komited dalam mengamalkan semangat ini, mematuhi sumpah yang saya lafazkan, dan memastikan saya sentiasa bersedia berkhidmat kepada semua negara anggota dan rakan lain."
António Guterres, Setiausaha Agung PBB juga memberikan ucapan tahniah kepada Yang sambil berkata, "Konflik tercetus saban hari. Malapetaka akibat perubahan iklim semakin meruncing. Kemiskinan dan ketidaksamaan semakin berleluasa. Ketidakpercayaan dan perpecahan juga sedang memecah belahkan manusia. Matlamat Pembangunan Mampan boleh dikatakan tidak berada di landasan yang tepat. Dan pembangunan negara terbiar tanpa sokongan yang diperlukan dalam pembangunan modal insan."
"Beliau membawa suara penting ke dalam Pertubuhan ini. Beliau memiliki pengalaman berharga dalam mewakili negaranya sebagai seorang diplomat dan penjawat awam....Beliau juga bangga sebagai seorang berketurunan Afrika yang berdedikasi membawa wilayah itu ke peringkat seterusnya di masa hadapan," kata Guterres.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " UN General Assembly elects former Cameroon leader as new president " — NHK, 7 Jun 2024
- (Inggeris) " Former Cameroonian prime minister elected president of 79th session of UN General Assembly " — People's Daily Online, 7 Jun 2024
- (Melayu) "Bekas PM Cameroon dilantik Presiden Perhimpunan Agung PBB" — Berita RTM, 7 Jun 2024
- (Inggeris) " Philemon Yang of Cameroon elected President of upcoming General Assembly session " — UN, 6 Jun 2024