Wn/ms/Penyesuai PlayStation VR2 untuk komputer mula dijual Ogos ini
4 Jun 2024 (Selasa)
Sony mengumumkan penyesuai PlayStation VR2 bagi membolehkan pengguna komputer memainkan permainan video realiti maya popular seperti Half-Life: Alyx, Fallout 4 VR, dan War Thunder akan mula dijual 7 Ogos. Terdahulu, Sony mendedahkan VR2 bakal disokong bagi penggunaan komputer menerusi terbitan di blog Februari lalu.
Menurut Sony, pemain perlu membeli penyesuai tersebut dengan harga $59.99 (~RM280), selain memiliki kabel DisplayPort yang serasi dengan DisplayPort 1.4 dan akaun Steam. Komputer pula perlu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan seperti memiliki memori sekurang-kurangnya 8GB, penggunaan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 atau AMD Radeon RX 5500XT atau terkini, dan sistem pengendalian Windows 10 atau 11.
"Hanya sambungkan PlayStation VR2 ke komputer anda menggunakan penyesuai PS VR2 dan kabel DisplayPort 1.4. Kemudian, muat turun aplikasi PlayStation VR2 dan SteamVR dari Steam. Ini membolehkan anda melakukan tetapan PS VR2 pada komputer, menyesuaikan tetapan dan ruang permainan, dan mula membeli dan bermain permainan video dari SteamVR," menurut kenyataan tersebut.
Walaupun begitu, beberapa ciri yang terdapat apabila menggunakan VR2 pada PlayStation 5 tidak disediakan bagi penggunaan di komputer, seperti paparan HDR, penjejakan mata, pencetus ubah suai dan timbal balas haptik (selain gegaran biasa).
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Joshua Hawkins. " PlayStation VR2 Is Coming to PC Later This Year " — LifeHacker, 4 Jun 2024
- (Inggeris) " PlayStation VR2 players can access games on PC with adapter starting on August 7 " — PlayStation Blog, 3 Jun 2024
- (Inggeris) Simon Batt. " You can soon officially use a PlayStation VR2 on PC, but it'll cost you " — XDA, 3 Jun 2024
- (Inggeris) Taylor Lyles. " Sony Announces PlayStation VR2 PC Adapter for August " — IGN, 3 Jun 2024