Wn/ms/PM Slovakia beransur pulih, maafkan pelaku yang menembaknya
6 Jun 2024 (Khamis)
Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico membuat kemunculan buat kali pertama menerusi video ucapan yang disiarkan di laman Facebook rasminya sejak berlaku insiden cubaan membunuh ke atas dirinya tiga minggu lalu.
Fico menyatakan rasa penghargaan kepada pasukan kesihatan di Hospital Roosevelt dan Hospital St. Michael di Bratislava yang memberikan rawatan atas kecederaan parah yang dialaminya. Tambahnya lagi, dia dijangka akan kembali menyambung tugas sebagai Perdana Menteri sekitar Jun atau Julai, bergantung kepada keadaaan semasa.
"Ini masanya untuk saya membuat langkah pertama. Dan itu ialah kemaafan. Saya tidak mempunyai perasaan benci kepada orang yang menembak saya. Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadapnya atau meminta pampasan," kata Fico. "Saya maafkan dia dan biarkan dia berfikir sendiri apa yang telah dia lakukan dan kenapa dia lakukannya. Kerana di akhirnya, itu ialah bukti yang menunjukkan dia hanyalah pengantara kepada kebencian dan politik yang jahat."
Dalam insiden lalu, Fico telah ditembak sebanyak lima kali dari jarak dekat semasa dia sedang beramah mesra bersama penyokongnya selepas selesai mesyuarat kerajaan di tengah bandar Handlova, 140km dari ibu negara Bratislava. Suspek yang dipercayai berumur 71 tahun bertugas sebagai penulis media itu telah direman pihak berkuasa dan dikenakan pertuduhan atas cubaan membunuh yang dirancang.
Sejurus selepas insiden itu, Fico diterbangkan ke Banská Bystrica menaiki helikopter bagi menjalani pembedahan yang berlangsung selama beberapa jam. Keadaan dia pada ketika itu disifatkan sangat kritikal serta mengancam nyawa.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Slovakia’s Fico lashes opponents in first address since assassination attempt " — SCMP, 6 Jun 2024
- (Inggeris) " 'I forgive him': Slovakia's PM Robert Fico says he felt 'no hatred' towards his attacker " — Euronews, 5 Jun 2024
- (Inggeris) " Slovak PM Robert Fico says could return to work ‘in several weeks’ " — Aljazeera, 5 Jun 2024
- (Inggeris) " Slovak prime minister says he forgives his attacker " — VOA, 5 Jun 2024