Jump to content

Wn/ms/Mahkamah EU putuskan tiada lagi Big Mac Ayam dari McDonald's

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Mahkamah EU putuskan tiada lagi Big Mac Ayam dari McDonald's

7 Jun 2024 (Jumaat) McDonald's, sebuah rangkaian jenama makanan segera Amerika Syarikat hilang haknya terhadap penggunaan nama "Big Mac" bagi produk berasaskan burger ayam di negara di bawah Kesatuan Eropah (EU) berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Eropah baru-baru ini.

Produk McDonald's di China - Gambar hiasan.
Imej: Dinkun Chen.

Dalam menyatakan keputusan itu, Mahkamah EU berkata McDonald’s tidak dapat membuktikan penggunaan tanda dagang itu di kesemua restorannya selama lima tahun berturut-turut. Oleh itu, ia berpendapat "manfaat itu sepatutnya diberi peluang kepada restoran lain untuk menggunakannya."

"Bukti yang dikemukakan oleh McDonald’s tidak memberi sebarang petunjuk tentang penggunaan tanda dagang yang berterusan berhubung dengan produk itu (berasaskan ayam), terutamanya berkaitan jumlah jualan produk, tempoh masa tanda dagang itu digunakan dan kekerapan penggunaannya," menurut kenyataan Mahkamah EU.

Keputusan mahkamah itu juga bermakna pertikaian undang-undang berkaitan tanda dagang yang tercetus di antara McDonald's dan Supermac iaitu rangkaian jenama makanan segera dari Ireland kini berakhir. Kes itu dilaporkan bermula 2015 apabila Supermac menghantar permohonan tanda dagang bagi nama syarikat itu di EU sebagai usaha mengembangkan rangkaian restoran mereka, namun ditentang McDonald’s yang menganggap nama "Supermac" itu boleh mengelirukan pengguna kerana menggunakan terma "Mc" atau "Mac" yang digunakan secara meluas bagi produk-produk di bawah McDonald’s.

Namun begitu, McDonald’s masih lagi memegang tanda dagang "Big Mac" bagi produk berasaskan daging lembu.

Keputusan itu juga hanya tertakluk bagi negara-negara di bawah EU, tidak termasuk United Kingdom oleh kerana undang-undang berkaitan tanda dagang EU tidak terpakai selepas UK keluar dari EU.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog