Wn/ms/Kerajaan Sri Lanka mohon maaf mayat jangkitan COVID-19 beragama Islam dibakar
24 Julai 2024 (Rabu)
COLOMBO - Kerajaan Sri Lanka hari ini mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada rakyat beragama Islam di negara itu susulan pengenalan polisi yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di sana.
Polisi itu memaksa mayat individu yang maut akibat COVID-19 perlu dikebumikan secara pembakaran mayat tidak kira agama apa sekalipun. Polisi yang diperkenalkan ketika pandemik adalah bertentangan dengan pengebumian mayat melalui ajaran Islam kerana mayat yang beragama Islam perlu dikebumikan dengan cara menanam mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa melarang kaedah pengebumian itu walaupun mendapat kecaman daripada Majlis Hak Asasi PBB dan kumpulan lain kerana melanggar amalan pengebumian yang ditetapkan dalam Islam. Menurut laporan, Rajapaksa mempertahankan keputusannya dengan memetik "nasihat pakar" dari Meththika Vithanage, seorang profesor bidang sumber asli mengenai risiko jangkitan COVID-19 terhadap mangsa walaupun dia tiada kepakaran dalam bidang perubatan.
Menerusi kertas kabinet yang disiarkan semalam, satu kajian telah dibuat pada 2021 oleh Kementerian Sumber Air dengan bantuan Universiti Sri Jayawardenepura bagi mengenal pasti kewujudan virus SARS-CoV-2 dalam keadaan berair di sekitar Colombo dan Kandy. Beberapa sampel telah diambil dari sumber sisa air dibuang, termasuklah sisa air dari hospital dan pusat kuarantin, air sungai dan kawasan lain.
Kajian itu merumuskan bahawa virus itu tidak wujud dalam kesemua keadaan.
Kajian kedua pula telah disiapkan pada Mac 2024 untuk mengenal pasti jika virus SARS-CoV-2 itu mampu tersebar kepada sumber air termasuklah air bawah tanah. Kajian itu juga mengesahkan najis dan air kencing adalah dua sumber utama penyebaran virus, namun ianya tidak berlaku kepada mayat yang telah ditanam.
Dari dapatan kedua-dua kajian itu, jemaah Menteri telah meluluskan cadangan permohonan maaf bagi pihak kerajaan kepada komuniti yang terkesan dengan polisi terbabit semasa tempoh pandemik COVID-19 di negara itu. Pada masa yang sama juga, kerajaan sedang meneliti untuk memperkenalkan undang-undang baharu yang memberi jaminan akses kepada pengebumian secara membakar mayat atau menanamnya, bagi memastikan tradisi pengebumian Islam ada komuniti lain sentiasa dihormati di masa akan datang.
Wakil komuniti Islam di Sri Lanka mengalu-alukan permohonan maaf itu, namun mereka mendakwa masih ramai lagi yang berasa trauma akibat polisi itu. Jurucakap Majlis Agama Islam Sri Lanka, Hilmy Ahamed berkata polisi itu mengingatkannya tentang keadaan di mana terdapat pasangan muda Islam mengalami trauma emosi setelah mayat bayi mereka yang berumur 40 hari dibakar oleh kerajaan tempatan bertentangan dengan kehendak mereka.
Untuk rekod, polisi itu dihentikan pada 2021 berikutan rayuan dari Perdana Menteri Pakistan ketika itu, Imran Khan semasa beliau berada di Nepal. Pengebumian secara menanam mayat dibenarkan di kawasan terpencil Oddamavadi di bawah kawalan ketat tentera, selain keluarga mangsa tidak dibenarkan menyertai upacara pengebumian itu.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " "Forced" cremations of Covid-19 victims: Sri Lanka issue apology to Muslim community " — The Times Of India, 24 Julai 2024
- (Inggeris) " GR govt. made wrong decision to cremate COVID dead, study reveals " — Daily Mirror Online, 24 Julai 2024
- (Indonesia) Grace El Dora. " Pemerintah Negara Ini Minta Maaf Atas Kremasi Muslim Korban Covid-19 " — Investor.id, 24 Julai 2024