Wn/ms/Manchester City lakar sejarah, merangkul gelaran liga ke-4 berturut-turut

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Manchester City lakar sejarah, merangkul gelaran liga ke-4 berturut-turut

20 Mei 2024 (Isnin)

Manchester - Kelab bola sepak England, Manchester City melakar sejarah apabila merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut. Ini setelah mereka menewaskan West Ham United dengan jaringan 3-1 dan menidakkan peluang Arsenal untuk memenangi liga berkenaan.

Stadium Etihad.
Imej: Ank kumar.

Dalam perlawanan terakhir liga, Manchester City memiliki peluang cerah untuk memenangi liga apabila 2 gol awal di separuh masa pertama yang dijaringkan oleh Phil Foden memberi kelebihan kepada City, sebelum pelawat merapatkan jurang apabila aksi tendangan basikal pemain West Ham, Mohammed Kudus menerjah ke pintu gawang City sebelum tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, anak-anak buah Pep Guardiola tampak lebih yakin apabila gol ketiga disudahkan pemain Rodri yang merembat di luar kotak penalti. Tiada jaringan tambahan dilakukan oleh kedua-dua pasukan sehingga tamat perlawanan.

City mengumpul jumlah keseluruhan 91 mata, berkelebihan 2 mata berbanding pasukan Arsenal dengan 89 mata.

Manchester City berpeluang untuk memenangi satu lagi piala apabila mereka bakal beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA menentang musuh setempat, Manchester United di Stadium Wembley, Sabtu ini.

Trofi liga disampaikan pemain lagenda City, Paul Dickov kepada kapten pasukan Kyle Walker.


Sumber[edit | edit source]