Wn/ms/Wikimedia Malaysia anjur WikiKata bahasa Tamil yang pertama
6 Jun 2025 (Jumaat)

Petaling Jaya – Pada 4 Jun 2025, Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia atau lebih dikenali sebagai Wikimedia Malaysia telah menganjurkan WikiKata Bahasa Tamil buat julung kalinya, bertempat di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Univerisiti Malaya dekat sini.
Program ini merupakan hasil kolaborasi bersama antara pihak Wikimedia Malaysia dengan Dr Elanttamil A/L Maruthai selaku pensyarah Bahasa Tamil di fakulti universiti tersebut. Seramai 25 orang pelajar fakulti telah menyertai program ini, termasuk tujuh orang sukarelawan Wikimedia Malaysia demi menjayakan program terbabit.
Penulis telah berkesempatan mengambil peluang yang bermakna ini untuk menjadi salah seorang sukarelawan Wikimedia, yang telah membimbing pelajar-pelajar universiti.
WikiKata Bahasa Tamil mempunyai beberapa objektif yang utama, iaitu memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kamus dalam talian, Wikikamus serta memasukkan perkataan bahasa Tamil ke dalam laman web tersebut berdasarkan senarai perkataan yang telah diberikan. Para pelajar hanya perlu menerbitkan laman perkataan berdasarkan pilihan mereka, dengan bimbingan sukarelawan Wikimedia. Selain itu juga, mereka juga diberikan pendedahan bagaimana untuk menerbitkan rencana di Wikipedia Bahasa Tamil dengan menggunakan alat khusus iaitu terjemahan laman (content translation).
Hasilnya, sebanyak 53 laman tercipta mengenai perkataan bahasa Tamil dalam Wikikamus. Masing-masing laman disertakan dengan kelas kata seperti kata nama dan kata sifat, maksud dalam bahasa Melayu dan contoh ayat bagi mewakilkan perkataan bahasa Tamil itu beserta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Daripada 53 laman baharu itu juga, sebanyak 14.8 ribu bait telah ditambah dalam kandungan Wikikamus.
Pada akhir program, setiap pelajar menerima cenderamata istimewa daripada pihak Wikimedia Malaysia. Sekeping pelekat yang mengandungi logo-logo projek dalam Wikimedia seperti Wikibuku, Wikipedia dan lain-lain dan lencana butang atau dikenali sebagai button badge yang menampilkan logo Wikipedia dan teks "Wikipedia, ensiklopedia bebas" dalam bahasa Tamil diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap penglibatan aktif dan kerjasama padu daripada mereka untuk merealisasikan program yang bermakna ini.