Wn/ms/Wanita warga Vietnam dipenjara 9 tahun, culik dan rakam video lucah bawah umur
7 Ogos 2024 (Rabu)
HO CHI MINH - Seorang wanita berumur 21 tahun dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun selepas dia didapati bersalah atas tuduhan menculik serta menerbitkan video lucah yang melibatkan dua kanak-kanak di bawah umur.
Mahkamah Juvana Ho Chi Minh pada Rabu membacakan hukuman yang dijatuhkan kepada Pham Huynh Nhat Vi, iaitu penjara selama tiga tahun enam bulan untuk kesalahan pertama melibatkan penderaan dan melakukan kelucahan ke atas individu di bawah 16 tahun. Sementara itu, untuk kesalahan kedua melibatkan penculikan, dia berdepan hukuman penjara selama lima tahun dan enam bulan.
Mahkamah juga menetapkan dia perlu membayar pampasan sebanyak VNĐ80 juta (RM14,193) kepada mangsa. Perbicaraan itu berlangsung secara tertutup bagi melindungi identiti mangsa.
Menurut pertuduhan, Vi melakukan jenayah itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga Amerika Syarikat dengan nama Richard menerusi aplikasi janji temu pada Oktober 2023. Richard didakwa sering menghantar video lucah kepada Vi sambil mendesaknya untuk mencari kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur 6 hingga 12 tahun bagi tujuan penerbitan video pornografi.
Selepas menerima sejumlah wang dari Richard, Vi kemudian mencari dua kanak-kanak seperti yang diminta, sebelum menculik mangsa yang sedang berehat di kawasan sekitar. Richard membantu Vi menyewa di satu apartment dalam daerah Binh Thanh bertujuan untuk melakukan rakaman video lucah mangsa. Dipercayai sebanyak 12 video telah dirakam dan dihantar kepada Richard sekitar April.
Ibu mangsa yang sedar tentang ketiadaan mangsa kemudian membuat laporan polis, di mana pada awalnya mangsa diklasifikasikan sebagai hilang. Pada 9 April, Bahagian Siasatan Jenayah Polis Ho Chi Minh dengan kerjasama Polis Daerah Binh Thanh berjaya menjumpai mangsa tersebut serta memberkas Vi. Vi kemudian mengaku melakukan penculikan itu.
Polis mengenal pasti Richard sebagai dalang utama kes ini dan telah meminta bantuan perundangan dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk siasatan lanjut.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Hai Duyen. " HCMC woman sentenced to 9 years in prison for kidnapping girls to film porn " — VnExpress International, 7 Ogos 2024
- (Inggeris) " Vietnamese woman gets nine years for kidnapping two underaged girls to film porn " — The Star, 7 Ogos 2024