Wn/ms/WHO isytihar Mpox darurat kesihatan awam, rekod trend jangkitan tak terkawal di Congo
15 Ogos 2024 (Khamis)
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini mengisytiharkan penyakit Mpox atau cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam global berikutan penularan jangkitan wabak itu yang direkodkan di Republik Congo semakin tidak terkawal serta merebak ke beberapa negara Afrika lain.
Pada Rabu, satu mesyuarat tergempar telah diadakan secara dalam talian oleh WHO bersama Jawatankuasa Kecemasan IHR bagi membincangkan situasi penularan Mpox di Afrika. Pakar-pakar perubatan bebas kemudian menasihati Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengenai peningkatan kes jangkitan yang berpotensi merebak ke seluruh benua Afrika dan mungkin di luar Afrika.
Sehubungan dengan itu, Dr Tedros mengisytiharkan darurat kesihatan berdasarkan kepada Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005)(IHR). "Dengan kemunculan varian baharu Mpox, kadar jangkitan di bahagian timur Congo semakin meningkat dan kes-kes yang dilaporkan di beberapa negara jiran adalah sangat membimbangkan," katanya. "Di samping penyebaran varian Mpox lain di Congo dan negara lain di Afrika, jelaslah bahawa penyelarasan tindak balas antarabangsa diperlukan bagi membendung wabak dan menyelamatkan nyawa."
Setakat 4 Ogos, terdapat 38,465 kes Mpox direkodkan dan 1,456 kematian akibat jangkitan itu direkodkan di Afrika sejak Januari 2022. Di Congo sahaja, lebih 14,000 kes dan 524 kematian dilaporkan untuk tahun ini. Kesemua kes itu melibatkan beberapa varian seperti Klad I dan Klad II serta varian baharu yang mencetuskan peningkatan ketara di Congo iaitu Klad 1b. Klad 1b itu juga mula dilaporkan di negara yang sebelum ini bebas Mpox iaitu di Burundi, Kenya, Rwanda and Uganda.
Dua vaksin Mpox telah diluluskan oleh pihak kesihatan tempatan untuk merawat pesakit. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika pula sedang berbincang dengan syarikat Bavarian Nordic yang berpangkalan di Denmark untuk menghantar 200,000 dos vaksin mpox yang memerlukan dua dos. CDC Afrika menjangkakan sebanyak 10 juta dos vaksin diperlukan untuk mencegah penularan wabak itu.
Cacar monyet ialah sejenis penyakit bawaan virus monkeypox yang biasa didapati pada haiwan dan kes biasanya dilaporkan di kawasan hutan hujan tropika di mana terdapat bukti virus itu dijumpai pada haiwan termasuklah, tupai, pelbagai spesis monyet, dan lain-lain. Antara simptom dialami pesakit termasuklah demam, sakit kepala melampau, sakit belakang, rasa sengal otot dan keletihan.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " WHO Director-General declares mpox outbreak a public health emergency of international concern " — WHO, 14 Ogos 2024
- (Inggeris) Maya Davis. " WHO declares mpox outbreak a global health emergency " — CNN, 14 Ogos 2024
- (Inggeris) Max Kozlov. " Growing mpox outbreak prompts WHO to declare global health emergency " — Nature, 13 Ogos 2024