Jump to content

Wn/ms/Tiga atlet Brunei bertanding di Sukan Olimpik 2024 untuk sukan renang dan olahraga

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Tiga atlet Brunei bertanding di Sukan Olimpik 2024 untuk sukan renang dan olahraga

22 Julai 2024 (Isnin)

BANDAR SERI BEGAWAN - Seramai tiga orang atlet Brunei akan bertanding di Sukan Olimpik ke-33 di Paris. Mereka telah dirai dalam sebuah majlis yang diadakan bagi penyerahan bendera Brunei kepada kontinjen Olimpik.

Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam

Dalam majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku Chef de Mission ke Sukan Olimpik 2024.

Tiga atlet yang akan membuat penampilan di Sukan Olimpik ialah Zeke Chan Zhi Yue dan Hayley Wong Ann Yue dari sukan renang dan Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris dari sukan olahraga. Mereka dipilih menerusi kuota Universality Places yang diperuntukkan dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Menurut Chan, beliau menghabiskan masa selama sebulan di Singapura dalam menjalani latihan bersama perenang berpengalaman bagi meningkatkan motivasinya berlatih dengan bersungguh-sungguh. "Perkara ini banyak membantu dalam persediaan saya," katanya.

Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid pula percaya keadaan di Sukan Olimpik Paris akan memberikan suasana yang berbeza berbanding Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang dikenakan banyak sekatan akibat penularan wabak COVID-19. "Kami harap dapat merasai suasana di mana ramai penonton bersorak kepada para atlet," katanya yang akan bertanding dalam acara pecut 100 meter.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad pula berharap atlet-atlet yang bertanding dapat menunjukkan disiplin yang tinggi serta menjaga tingkah laku. "Elakkan daripada mengambil bahan yang terlarang yang boleh memberi kesan ketika bertanding sehingga menjejaskan nama baik negara," tambahnya menerusi ucapan sembah alu-aluan.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog