Wn/ms/Tentera Turki maut dalam pertempuran dengan puak Kurdish
3 September 2012 (Isnin)
DIYARBAKIR, Turki 3 Sept - Sembilan orang anggota keselamatan Turki termasuk tentera dan pihak polis telah terbunuh dalam satu pertempuran dengan puak militan Kurdish berhampiran sempadan tenggara antara Syria dan Iraq menurut sumber keselamatan.
Sumber tersebut menambah bahawa sekurang-kurangnya lapan orang anggota pasukan keselamatan yang lain tercedera dalam pertempuran di wilayah Şırnak dan pertempuran tersebut masih berlanjutan.
Pertempuran antara tentera Turki dan pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) menjadi semakin hebat sejak beberapa bulan belakangan ini. Puak militan membunuh lima orang askar dalam satu serangan bom ke atas konvoi tentera dua minggu yang lalu. Tentera Turki pula membalas dengan cepat tindakan militan itu menyebabkan 21 pemberontak terbunuh dalam operasi melibatkan helikopter penyerang.
Lebih daripada 40,000 orang terkorban dalam konflik antara PKK dengan tentera Turki sejak puak militan melancarkan pemberontakan 28 tahun dahulu dengan tujuan untuk membentuk sebuah negeri berasingan di tenggara negara Turki.
Parti PKK juga disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Beberapa pegawai Turki berkata organisasi itu memperoleh sokongan terus daripada presiden Syria, Bashar al-Assad dan kumpulan Kurdish di Syria.
Assad yang telah bertarung dengan pihak pemberontak yang menentang pemerintahan beliau di Syria selama 17 bulan menafikan bahawa kerajaannya membenarkan pihak PKK untuk melakukan operasinya di wilayah Syria yang berhampiran dengan sempadan Turki.
Pertempuran yang berlaku tertumpu di kawasan pergunungan yang bersempadanan dengan Iraq dan Iran. Bagaimanapun, PKK juga menjalankan pemberontakan di beberapa buah bandar di Turki.
-
Demonstrasi anti Parti Pekerja Kurdistan di Kadıköy, İstanbul pada tahun 2007.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) "Turkish troops die in clashes with Kurds" — Guardian, 3 September 2012
- (Inggeris) "Turkish troops killed in Kurdish rebel clashes" — France 24, 3 September 2012