Jump to content

Wn/ms/Taman Hobbit, kapsul masa antara tarikan Festival Royal Floria 2024 Putrajaya

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Taman Hobbit, kapsul masa antara tarikan Festival Royal Floria 2024 Putrajaya
Wikinews
Wikinews
Rencana ini menyiarkan laporan langsung oleh sukarelawan Wikiberita. Lihat laman perbincangan untuk perincian lanjut.


24 Ogos 2024 (Sabtu)

PUTRAJAYA - Festival Bunga Dan Taman Putrajaya 2024 atau Royal Floria 2024 Putrajaya sedang berlangsung ketika ini bermula 22 Ogos sehingga 1 September 2024. Festival itu mengumpulkan lebih 700 ribu pokok bunga dan tanaman dari pelbagai jenis dan warna yang menghiasi keseluruhan kawasan festival.

Bunga Petunia diangkat sebagai bunga tema untuk edisi ke-13.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan merasmikan pembukaan festival itu pada Khamis. Pada masa sama juga, Raja Zarith Sofiah telah dipersembahkan dengan spesis orkid hibrid baharu bernama Vandachostylis Queen Zarith Sofiah.

Menelusuri festival itu yang kali ini diadakan di Persisiran Tasik, Presint 2, penulis mendapati terdapat banyak jenis bunga dari pelbagai spesis dan warna disusun atur dengan cara tersendiri bagi menaikkan suasana sekitar festival sebagai "taman bunga".

Antara tarikan di sana ialah Taman Hobbit Putrajaya yang merupakan taman konsep di bawah inisiatif program pemerkasaan komuniti setempat, seperti aktiviti 'kebun dapur' di mana komuniti digalakkan menanam apa jua jenis tanaman yang boleh dituai hasilnya di perkarangan rumah. Taman Hobbit ini juga akan kekal berada di lokasi sama selepas berakhirnya festival.

Kapsul masa dipamerkan buat pertama kali untuk tontonan umum.

Melawati pameran taman Perbadanan Putrajaya pula, penulis berpeluang melihat sendiri kandungan kapsul masa yang sebelum ini ditanam pada 1995 sewaktu perasmian pembukaan Putrajaya. Menurut huraian di situ, kapsul masa itu mengandungi beberapa dokumen penting berkaitan pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, termasuklah kertas kabinet, undang-undang dan laporan teknikal.

Selain mengunjungi taman-taman landskap hasil rekaan agensi kerajaan dan swasta, penulis sempat meluangkan masa menikmati juadah dari peniaga foodtruck yang terdapat di dalam kawasan festival. Walaupun begitu, kawasan yang disediakan untuk duduk dan menikmati juadah adalah terhad.

Secara keseluruhannya, penulis mengambil masa selama dua jam melihat beberapa pameran di situ, namun ia tidak cukup untuk melawati setiap pameran. Pengunjung mungkin memerlukan masa di antara tiga hingga lima jam untuk mengunjungi kesemua bahagian dalam festival itu. Walau bagaimanapun, menurut sukarelawan di sana, tiket yang dibeli dibenarkan masuk sebanyak dua kali pada hari sama.

Untuk masuk ke festival itu, bayaran tiket sebanyak RM10 dikenakan kepada pengunjung warganegara Malaysia berumur 13 tahun ke atas dan RM5 untuk kanak-kanak. Manakala, bayaran sebanyak RM30 dan RM25 dikenakan masing-masing untuk pengunjung bukan warganegara dan kanak-kanak.


Rujukan

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog