Wn/ms/TM lancar stesen CLS baharu, tingkatkan jalinan rangkaian kabel dasar laut
26 September 2025 (Ahad)
KUALA LUMPUR - TM melalui anak syarikatnya, TM Global mengumumkan kerja-kerja pembinaan Stesen Pendaratan Kabel Dasar Laut (Cable Landing Station (CLS)) telah siap sepenuhnya. Ia merupakan stesen CLS kelima TM, terletak di Morib, Kuala Langat, Selangor.

Imej: Zh9567.
Menerusi siaran akhbar dikeluarkan TM, stesen berkeluasan 7,000 kaki persegi itu merupakan sebuah stesen CLS terbuka, membolehkan pelbagai pembekal perkhidmatan menyambungkan rangkaian mereka dan bertukar-tukar trafik rangkaian dan data dengan lebih efisien. "Fasiliti ini dipantau oleh Pusat Pemantauan Bersepadu (NOC) selama 24 jam seminggu, menawarkan pemantauan yang lebih berkesan dan menjamin ketersediaan perkhidmatan."
Stesen CLS Morib memiliki keupayaan menyokong sehingga tiga sistem kabel optik dasar laut, termasuklah sistem kabel dasar laut Sea-Me-We 6 yang telah memulakan pembinaan pada 2022. Selain itu, sebagai amalan korporat yang mengamalkan kemampanan, stesen Morib dilengkapi dengan penggunaan tenaga solar untuk membekalkan kuasa kepada lampu jalanan selain menggunakan sistem penyejukan rendah tenaga.
Khairul Liza Ibrahim, Naib Presiden Eksekutif TM Global berkata, "Pembinaan stesen CLS Morib mencerminkan langkah penting dalam meningkatkan kesalinghubungan global dari Malaysia". Beliau menambah, lokasi stesen terletak berhampiran Selat Melaka yang merupakan antara laluan kabel dasar laut terpenting di dunia dan sebagai stesen CLS terbuka, ia menawarkan akses antarabangsa secara langsung di samping menaik taraf kepelbagaian laluan dan mengurangkan kadar sela masa.
"Jaraknya yang berhampiran dengan kluster pusat data Lembah Klang turut menyokong integrasi rangkaian yang lancar dan mengoptimumkan kecekapan penghantaran data sepenuhnya"
Untuk rekod, laluan sistem kabel optik dasar laut Sea-Me-We 6, singkatan kepada Southeast Asia - Middle East - Western Europe 6 (Asia Tenggara - Timur Tengah - Eropah Timur 6) menyediakan sambungan rangkaian Malaysia dengan Singapura, Bangladesh, India, Sri Lanka, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.
Beberapa syarikat terlibat dengan konsortium yang membangunkan sistem laluan itu, termasuklah TM, Microsoft, Singtel, Orange dan Telecom Egypt.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) "TM UNVEILS NEW CABLE LANDING STATION TO BOOST REGIONAL CONNECTIVITY" — TM, 25 September 2025
- (Inggeris) Dan Swinhoe. "Telekom Malaysia launches cable landing station in Selangor" — DCD, 26 September 2025
- (Inggeris) Jasdip Sensi. "TM Global opens fifth cable landing station in Selangor" — Capacity, 26 September 2025

