Wn/ms/Solat Jumaat berjaya dilaksanakan mengikut SOP
19 Jun 2020 (Jumaat)
HULU LANGAT - Kira-kira 6,000 umat Islam di negeri Selangor telah berjaya menunaikan solat fardhu Jumaat secara terkawal dan mengikut peraturan yang disediakan kerajaan negeri, ketika negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
Minggu ini merupakan minggu pertama di negeri tersebut di mana masyarakat umum dibenarkan untuk menunaikan solat fardhu Jumaat di 39 buah masjid terpilih sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18hb Mac awal tahun ini. Seramai 150 orang jemaah dibenarkan untuk menghadiri 38 buah masjid terpilih yang terdiri daripada masjid-masjid daerah, masjid-masjid diraja, serta masjid-masjid naik taraf, manakala bagi masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, seramai 250 orang jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat di masjid tersebut, tidak termasuk petugas-petugas di sana.
Jemaah yang ingin menghadiri dikehendaki untuk membuat permohonan terdahulu, dan jika permohonan mereka diluluskan maka mereka akan dibenarkan untuk melaksanakan ibadat tersebut. Mereka juga dikehendaki untuk membawa sejadah sendiri, serta berwuduk di rumah masing-masing, memakai pelitup muka dan tiba di masjid 30 minit sebelum masuknya waktu Zohor.
Salah satu masjid naik taraf yang menjalankan ibadat solat Jumaat di negeri Selangor, Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, dipenuhi kira-kira 150 orang jemaah, serta beberapa orang anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor, selain daripada petugas-petugas masjid yang turut menunaikan ibadat wajib tersebut.
Menurut pihak pengurusan masjid yang diketuai oleh Pengurus Masjid, Ustaz Ahmad Luqman bin Ayob, kesemua 150 orang jemaah yang lulus permohonan hadir ketika solat Jumaat tersebut dan tiada yang ditahan kerana mempunyai gejala wabak Covid-19 ataupun kerana memiliki suhu badan yang melebihi had 37.4°C.
Khutbah Jumaat yang bertajuk "Rancang Kewangan Sejahtera Kehidupan" disampaikan oleh khatib Imam Abd Latiff, yang juga mengimamkan solat fardhu Jumaat selepas itu.
Jemaah tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat atau beriktikaf selepas selesai menunaikan solat, tetapi sebaliknya akan diminta untuk keluar secara berperingkat bagi mengurangkan sesakan orang ramai agar penjarakan sosial dapat dijaga. Jemaah turut diberi pensanitasi tangan ketika memasuki dan keluar dewan solat.
Masjid-masjid terpilih di negeri Selangor turut menjalankan ibadat solat fardhu Subuh, Maghrib dan Isyak setiap hari dengan kawalan dan peraturan yang ketat sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini.
Sumber
[edit | edit source]