Wn/ms/Slovenia umum pengharaman perdagangan dengan Israel, tiada kata putus dari EU
2 Ogos 2025 (Sabtu)
LJUBLJANA - Slovenia bakal menjadi negara Eropah pertama mengenakan langkah pengharaman perdagangan ketenteraan dengan Israel, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Perdana Menteri Slovenia pada Jumaat.
Keputusan itu, menurut kenyataan adalah hasil inisiatif Perdana Menteri, Dr. Robert Golob yang mengesahkan Slovenia akan bertindak secara bersendirian oleh kerana pertubuhan EU gagal mengambil langkah tegas dalam membendung krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza. "Kerajaan hari ini memutuskan untuk mengenakan langkah pengharaman eksport dan transit senjata dan peralatan ketenteraan dari atau melalui Republik Slovenia ke Israel atau import dari Israel ke Republik Slovenia," demikian menurut kenyataan itu lagi.
Kerajaan Slovenia juga berpendapat perbezaan pendapat di antara ahli EU telah mengakibatkan ramai penduduk di Gaza mati kebuluran, selain dinafikan secara sengaja akses kepada kelangsungan hidup dan rawatan kesihatan. "Dalam situasi ini, adalah menjadi kewajipan bagi setiap negara untuk bertanggungjawab mengambil tindakan yang perlu walaupun ia bermakna mengambil langkah paling hadapan".
Untuk rekod, kerajaan Slovenia yang diterajui Dr. Robert telah mengiktiraf negara Palestin pada Jun tahun lalu dan merupakan antara negara yang tegas dalam menyuarakan usul gencatan senjata di Gaza. Pada Julai lalu, Slovenia mengisytiharkan dua orang Menteri paling kanan Israel sebagai persona non grata.
Sumber
[edit | edit source]- (Slovene) "Slovenija je kot prva evropska država prepovedala uvoz, izvoz in tranzit orožja v in iz Izraela" — GOV.si, 31 Julai 2025
- (Inggeris) Maïa de La Baume. "Slovenia becomes first EU country to ban weapons trade with Israel" — Euronews, 1 Ogos 2025
- (Inggeris) "Slovenia becomes first EU member state to ban weapons trade with Israel" — The New Arab, 1 Ogos 2025

