Wn/ms/Siri iPhone 17 dilancarkan di Malaysia
Kuala Lumpur - Siri telefon terbaharu iPhone jenama Apple, iPhone 17 dilancarkan hari ini di Malaysia dengan sebuah majlis besar-besaran di Apple The Exchange TRX.
Majlis bermula jam 7.50 pagi sebelum pusat beli belah The Exchange dibuka, dengan ratusan pelanggan beratur di luar gedung seawal jam 12 tengah malam tadi.
Selepas mengira detik hingga jam 8 pagi, pintu gedung dibuka untuk sejumlah pelanggan pertama memasuki kedai dan membeli telefon-telefon terbaharu jenama tersebut.

Tinjauan pasukan berita Wikimedia Malaysia mendapati bahawa lebih 200 pelanggan telah memberatur di luar kedai sejak awal pagi untuk mendapat tempat terdepan.
Sambil para pelanggan membeli peranti-peranti baharu, sebuah acara tampilan ciri diadakan di tingkat dua kedai, di mana seorang kakitangan Apple telah menunjukkan ciri-ciri terkini telefon baharu mereka.
Acara tersebut dilengkapi pertunjukan ciri kamera, di mana peserta turut dapat mengikut serta dalam menangkap gambar dan swafoto menggunakan telefon baharu tersebut.

Menurut salah seorang pelanggan yang ditemu bual, ramai yang beratur sejak awal lagi untuk menjadi yang terawal mendapat telefon pilihan mereka.
Beliau yang masih sedang beratur dengan sebuah kerusi lipat berkata beliau sendiri telah beratur sejak jam 12 tengah malam semalam dan hanya dapat memasuki gedung pada jam 9 pagi, dan masih sedang menunggu giliran untuk membeli telefon baharu.
Seorang lagi pelanggan menjelaskan bagaimana peminat-peminat iPhone begitu setia dengan jenama dan siri tersebut kerana ciri-cirinya yang memuaskan, menyebabkan ramai sanggup beratur selama berjam-jam untuk menjadi yang terawal.
Beliau merupakan salah satu daripada ramai pelanggan yang berasal dari luar negara yang hadir di majlis hari ini.
Menurut seorang lagi pelanggan, ada yang begitu teruja dengan telefon baharu tersebut hinggakan mereka hanya ingin membukanya setelah tiba di rumah bagi merasa pengalaman penuh menyahkotakkan peranti tersebut tanpa gangguan.
Ramai juga yang tidak sabar dan ingin membukanya sejurus selepas membeli peranti tersebut.



