Wn/ms/Seorang maut, 18 cedera akibat bom meletup depan flat polis di Yala
30 Jun 2024 (Ahad)
YALA - Sebutir bom buatan sendiri yang disorokkan dalam sebuah kereta meletup berhadapan bangunan flat polis di daerah Bannang Sata, mengorbankan seorang wanita dan mencederakan sekurang-kurangnya 18 orang.
Letupan itu berlaku kira-kira pukul 10:30 pagi waktu tempatan dan impak letupan itu menyebabkan kaca-kaca tingkap serta siling di perumahan polis dan bangunan sekitarnya pecah. Kenderaan yang diparkir berdekatan juga dilaporkan turut musnah dalam letupan itu.
Menurut Menteri Keadilan Tawee Sodsong yang berada di tempat kejadian, mayat wanita yang terkorban itu disahkan identitinya sebagai Rokiyoh Sarana, berumur 45 tahun dan merupakan seorang guru. Dia dipercayai lalu berdekatan tempat kejadian sebelum bom itu meletup.
Mangsa yang tercedera, termasuklah lapan pegawai polis dihantar ke Hospital Bannang Sata bagi mendapatkan rawatan.
Selepas letupan, pihak berkuasa mengepung tempat kejadian serta skuad pemusnah bom dikerahkan bagi mencari kemungkinan terdapat perangkap bom lain yang akan diletupkan, namun begitu tiada lagi bom dijumpai di situ.
Polis kini sedang giat menjejaki dalang di sebalik kejadian letupan itu.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Abdullah Benjakat, Wassayos Ngamkham. " Car bomb outside police flat kills 1, injures 16 in Yala " — Bangkok Post, 30 Jun 2024
- (Inggeris) " One killed, 18 injured in Yala car-bomb attack on Sunday " — The Nation, 30 Jun 2024
- (Inggeris) " One dead, 18 injured in car bomb explosion in southern Thailand’s Yala " — The Straits Times, 30 Jun 2024
- (Melayu) "1 maut, 18 cedera letupan bom di Yala" — FMT, 30 Jun 2024