Wn/ms/Senator Datuk Awang Bemee dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-21
22 Julai 2024 (Isnin)
KUALA LUMPUR - Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara baharu berkuatkuasa hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan nama beliau untuk dilantik ke jawatan itu melalui Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (2024) pagi tadi. Tiada nama lain dikemukakan. Cadangan itu kemudian disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Anwar, pelantikan Awang Bemee ke jawatan itu adalah sangat sesuai memandangkan pengalaman luas yang dimiliki beliau ketika berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo, Sarawak sejak 1984, selain pernah berkhidmat sebagai ADUN selama tiga penggal. "Sememangnya beliau memiliki pengalaman yang luas dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), saya telah memastikan beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih," katanya.
Sementara itu, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai speaker Dewan Negara ke-21 hari ini, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang mencadangkan namanya sambil berikrar untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan institusi perlembagaan. "Hari ini merupakan hari yang bersejarah bukan sahaja kerana pelantikan saya, tetapi juga penghormatan yang diberi kepada rakyat Sarawak dan Malaysia atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-21."
"Hari ini juga menandakan peristiwa bersejarah buat Sarawak sebagai wilayah yang membentuk negara Malaysia, menyambut Hari Sarawak. Pada 22 Julai, Sarawak telah bebas daripada cengkaman penjajah, memulakan pentadbiran sendiri dan pada 16 September, Sarawak bersetuju bersama-sama Sabah dan Persekutuan Malaya untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963," tambahnya.
Pelantikan Awang Bemee dibuat bagi menggantikan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada bulan Mei lalu.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Awang Bemee appointed 21st Dewan Negara president " — Malay Mail, 22 Julai 2024
- (Inggeris) " Former Nangka assemblyman appointed as 21st Dewan Negara president " — The Star, 22 Julai 2024
- (Melayu) "Datuk Awang Bemee dilantik YDP Dewan Negara baharu" — Berita RTM, 22 Julai 2024
- (Melayu) Afiezy Azaman. "Awang Bemee dilantik sebagai Speaker Dewan Negara baharu" — Astro Awani, 22 Julai 2024