Wn/ms/Sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | msWn > ms > Sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai
Jump to navigation Jump to search

1 Julai 2020 (Rabu)

Bendera Malaysia
Berita lain dari Malaysia
Lokasi Malaysia
Lokasi Malaysia


Putrajaya - Semua sekolah di seluruh negara yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai ini, dengan mengaplikasikan tiga jenis model operasi.

Dalam sidang media yang berlangsung jam 4 petang, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata murid sekolah rendah darjah lima dan enam, tingkatan satu hingga empat, kelas peralihan dan tingkatan enam semester 1 akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai 2020. Sementara murid sekolah rendah darjah satu hingga empat pula akan kembali ke sekolah bermula 22 Julai 2020.

Sebarang aktiviti ko-kurikulum dan sukan tidak dibenarkan. Tiga model pengoperasian yang dikenal pasti oleh KPM ialah Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.

  • Model Satu Sesi adalah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.
  • Model Dua Sesi pula adalah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
  • Manakala Model Penggiliran adalah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

Pembukaan semula sekolah berasrama akan dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing. Bagi asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari selepas 24 Jun 2020. Semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat berdaftar dengan KPM pula boleh dibuka semula pada 15 Julai 2020. Hal ini termasuk pusat tuisyen, pusat bahasa dan pusat perkembangan.

Kantin sekolah boleh beroperasi namun waktu rehat pelajar perlu dijalankan secara berperingkat dan makanan perlu dibungkus terlebih dahulu. Pelajar digalakkan untuk membawa makanan mereka sendiri.

Sementara itu bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka disarankan untuk mematuhi tarikh cadangan pembukaan semula oleh KPM dengan mematuhi semua tatacara operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

Sumber[edit | edit source]


Bookmark-new.svg