Wn/ms/Sarawak perkenal peranti penukar kuasa berasaskan AI pertama di dunia
30 April 2025 (Rabu)
KUCHING - Sarawak terus mencipta nama di persada teknologi global apabila memperkenalkan KETEQ AI, peranti penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pencapaian itu adalah antara hasil utama di bawah inisiatif Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab berteknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, KETEQ AI direka dengan keupayaan untuk mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam masa kurang 0.1 milisaat, sekali gus menjadikannya antara sistem paling responsif dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd yang juga ketua jurutera projek, Shariman Jamil turut membuat demonstrasi langsung prototaip canggih ini, memperlihatkan keupayaan KETEQ AI sebagai pemangkin revolusi industri akan datang.
Dengan slogan ‘Innovation in just a Snap’ KETEQ AI bukan sahaja membuktikan keupayaan anak tempatan dalam bidang teknologi tinggi, tetapi juga meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai peneraju dalam kecerdasan buatan dan sistem kuasa pintar.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Sarawak launches world’s first AI-based power conversion device " — Free Malaysia Today, 30 April 2025
- (Iban) " KETEQ AI gadget ti nukar energi AI keterubah di dunya ari peranak Sarawak " — Utusan Borneo, 30 April 2025
- (Melayu) " KETEQ AI: Sarawak perkenal peranti penukar kuasa berasaskan AI pertama di dunia " — Berita Harian, 30 April 2025
- (Inggeris) Samuel Aubrey. " Sarawak unveils ‘KETEQ AI’—World’s first Edge AI power converter in UK " — Borneo Post, 30 April 2025

