Wn/ms/Sarawak laksana penilaian standard dwibahasa bagi murid Tahun 6 mulai Oktober depan
1 Mei 2025 (Khamis)
KUCHING - Kerajaan Sarawak akan melaksanakan penilaian standard bagi Program Dwibahasa (DLP) mengikut piawaian antarabangsa Cambridge University Press and Assessment (CUP&A) untuk murid Tahun Enam di sekolah rendah di negeri itu, bermula Oktober ini.
Premier Sarawak, Abang Johari berkata DLP bertujuan menyediakan pelajar mahir berbahasa Inggeris dan menyediakan mereka dengan kelayakan diiktiraf di peringkat antarabangsa sambil memberi penekanan sewajarnya kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi kebenaran kepada Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) untuk menjalinkan kerjasama langsung dalam bidang pendidikan bersama Universiti Cambridge.
“Usaha ini bertujuan melahirkan pelajar yang menguasai kedua-dua bahasa tersebut, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam bidang sains, matematik dan kejuruteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perkhidmatan antara CUP&A dan Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) di Cambridge, United Kingdom pada Rabu waktu tempatan.
Bagi pihak CUP&A, perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan, Partnership for Education, Jane Mann, manakala SWIM yang mewakili MEITD diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Innovation Malaysia, George Ngui.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Ujian penilaian Cambridge untuk sekolah di Sarawak dilaksana mulai Okt" — Utusan Borneo, 1 Mei 2025
- (Melayu) "Program Dwibahasa Cambridge murid Tahun Enam akan bermula Oktober ini - Abang Johari" — Berita Harian, 1 Mei 2025
- (Melayu) "Sarawak Mulakan Program DLP Cambridge Oktober Ini - Abang Johari" — Bernama, 1 Mei 2025
- (Melayu) "Sarawak laksana penilaian standard DLP bagi murid Tahun 6 mulai Oktober depan" — Utusan Sarawak, 1 Mei 2025
- (Inggeris) "Cambridge-standard DLP exams for Year 6 students in Sarawak from October" — Free Malaysia Today, 1 Mei 2025

