Wn/ms/Saintis nuklear Iran dibom

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Saintis nuklear Iran dibom

12 Januari 2012 (Selasa)

TEHERAN 12 Jan - Seorang profesor yang mengajar fizik nuklear di Universiti Teheran terbunuh dalam satu letupan bom di luar kediamannya, di sini hari ini.

Massoud Mohammadi (gambar) baru sahaja keluar dari rumahnya untuk pergi ke tempat kerja apabila bom yang dipasang pada sebuah motosikal meletup, lapor stesen televisyen kerajaan, Press TV.

Laporan itu tidak menyatakan sama ada Mohammadi ada kaitan dengan program nuklear Iran yang didakwa oleh Barat bertujuan untuk membangunkan senjata nuklear.

Bagaimanapun sebuah lagi stesen televisyen kerajaan, IRIB mendakwa bom yang membunuh profesor tersebut dipasang oleh 'ejen-ejen Zionis dan Amerika Syarikat'.

Mohammadi ialah 'penyokong kuat' revolusi Islam Iran 1979, yang menggulingkan Shah Iran dan membawa kepada pemerintahan ulama di negara ini, menurut Press TV.

Letupan dengan alat kawalan jauh itu berlaku ketika ketegangan memuncak di Republik Islam ini, tujuh bulan selepas pilihan raya Presiden yang dipertikaikan keputusannya mencetuskan pergolakan di Iran. Serangan seumpama itu jarang berlaku di negara ini.

"Profesor universiti terbunuh di Teheran dalam letupan bom yang dicetuskan dengan alat kawalan jauh," lapor stesen berbahasa Inggeris, Press TV.

Pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri, Mehdi Mohamadifar berkata, motif serangan itu masih disiasat.

Universiti di Iran menjadi medan protes antara aktivis pembangkang dan penyokong kerajaan sejak pilihan raya Presiden pada Jun lalu.

Pembangkang propembaharuan mendakwa pilihan raya itu telah dimanipulasi untuk memastikan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dipilih semula untuk penggal kedua.

Pelajar propembaharuan menjadi tunjang kempen pembangkang Iran. - Reuters