Jump to content

Wn/ms/SPM 2023 - 349,297 calon layak terima Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2023

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > SPM 2023 - 349,297 calon layak terima Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2023

27 Mei 2024 (Isnin)

Putrajaya - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mula disemak oleh 395,870 calon hari ini. Jumlah itu melibatkan semua calon yang menduduki peperiksaan berkenaan di 3,340 buah pusat peperiksaan tahun lepas.

SMK Bakar Arang.
Imej: QianCheng.

Dalam perkembangan lain, seramai 11,713 calon SPM mendapat keputusan Cemerlang iaitu gred A+, A atau A- dalam semua mata pelajaran, demikian menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan. Gred Purata Nasional (GPN) dicatatkan pada 4.60 mata, berbanding 4.74 mata pada tahun 2022 dan 4.86 pada tahun 2021.

"Indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara adalah Gred Purata Nasional iaitu GPN. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian (calon) yang lebih baik dalam kesemua mata pelajaran yang diuji," katanya menerusi Sidang Media Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Menurut Azman, pelaporan analisis keputusan SPM 2023 itu adalah berdasarkan kepada keputusan yang dicatatkan oleh calon yang baru pertama kali menduduki peperiksaan itu dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. Ini tidak termasuk calon mengulang iaitu calon yang menduduki semula peperiksaan SPM.

Seramai 83,112 calon pula mendapat keputusan Kepujian iaitu sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil, manakala 131,489 calon mendapat keputusan Lulus iaitu sekurang-kurangnya gred E dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Seramai 349,297 calon iaitu 93.5 peratus layak menerima Sijil SPM pada tahun 2023, berbanding 342,742 calon iaitu 91.6 peratus pada tahun 2022," tambahnya lagi. Untuk rekod, syarat terbaru bagi penganugerahan Sijil Pelajaran Malaysia yang diperkenalkan bermula tahun 2013 adalah calon perlu mendapatkan keputusan sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Sumber

[edit | edit source]
Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog