Jump to content

Wn/ms/SMK Seksyen 4 Kota Damansara mula sesi persekolahan 2025/2026 hari ini

From Wikimedia Incubator

17 Februari 2025 (Isnin)

Dataran Harmoni merupakan kawasan untuk menjalankan perhimpunan rasmi

Petaling Jaya – Sesi persekolahan tahun 2025/2026 bagi negeri-negeri dalam Kumupulan B (yang merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) bermula pada hari ini seperti yang dijadualkan, selari dengan takwim yang dibuat oleh Kemeterian Pendidikan Malaysia. Begitu juga dengan sebuah sekolah menengah kebangsaan dekat sini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4 Kota Damansara, yang terletak di Kota Damansara.

Tinjauan penulis di sekolah ini mendapati bahawa cuaca sedikit mendung pada awalnya sekitar jam 7.20 pagi waktu tempatan, namun cuaca mendung telah digantikan dengan cuaca cerah dalam beberapa minit kemudiannya, menyebabkan beberapa orang guru mengarahkan murid-murid yang duduk di kelas masing-masing turun ke Dataran Harmoni semula untuk menjalani perhimpunan rasmi sempena minggu pembukaan sekolah. Kehadiran murid-murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi akademik tahun 2025/2026 juga disambut dengan pelangi ketika perhimpunan berlangsung. Semua murid ceria dan gembira kerana dapat bertemu sekali lagi dengan rakan-rakan masing-masing, di samping menunjukkan semangat dan iltizam yang tinggi menghadirkan diri ke sekolah untuk belajar bersungguh-sungguh.

Perhimpunan rasmi diadakan dengan jayanya; dikendalikan oleh seorang ahli Majlis Pemimpin Pelajar (MPM) yang berpengalaman. Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Selangor serta lagu sekolah, diikuti dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh ahli MPM juga.

Menurut Mohd Zainudin bin Mohd Zain selaku Pengetua SMK Seksyen 4 Kota Damansara, aktiviti bagi sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) berdasarkan sukatan pembelajaran bagi minggu pertama sesi akademik sempena pembukaan sekolah tidak akan dijalankan. Sebaliknya, aktiviti berorientasikan murid dan menggunakan konsep pembelajaran didik hibur (fun learning) bakal dijalankan— bagi mewujudkan kegembiraan dan keterujaan dalam kalangan murid-murid untuk menghadirkan diri ke sekolah, khususnya murid Tingkatan 1 yang menjadi enrolmen baharu untuk sekolah ini. Aktiviti ini memainkan peranan yang signifikan dan mendatangkan maslahat untuk warga sekolah; antaranya dapat membina ikatan silaturahim yang kukuh melalui penglibatan murid dan guru secara kolektif serta berupaya untuk melatih kemahiran insaniah dalam jati diri murid masing-masing.

Sebanyak empat program telah dilancarkan secara serentak semasa perhimpunan diadakan iaitu Program Santun Penyayang Madani sempena Minggu Pertama Pembukaan Sekolah, Program Amalan Guru Penyanyang, Program Jom Datang Awal Ke Sekolah dan Program Peningkatan Kehadiran #3M (Mengenalimu, Menyayangimu dan Memperkasakanmu). Pengetua SMK Seksyen 4 Kota Damansara, Mohd Zainudin bin Mohd Zain yang diiringi barisan para pentadbir dan dua orang pegawai polis maju ke pentas untuk merasmikan gimik pelancaran bagi empat-empat program itu. Ikatan reben yang melilit pada permukaan belon berwarna hijau dipotong dengan kemas. Belon naik ke atas, dan terikat dengan seutas tali, dengan beberapa kepingan kertas menempel padanya dengan tulisan "Santun Penyayang Madani 2025". Tepukan gemuruh dalam kalangan murid dan guru diberikan sejurus gimik pelancaran dilakukan.

Dengan berakhirnya gimik pelancaran itu, maka tamatlah juga perhimpunan rasmi pada hari ini. Semua murid diarahkan untuk kembali ke kelas masing-masing. Ibu bapa bagi murid-murid Tingkatan 1 yang hadir menyaksikan semua pergerakan dan atur langkah murid-murid kembali ke kelas sambil menunggu program suai kenal dengan pihak sekolah dimulakan, di Anjung Semarak Minda.

Wikinews
Wikinews
Rencana ini menyiarkan laporan langsung oleh sukarelawan Wikiberita. Lihat laman perbincangan untuk perincian lanjut.
Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog