Wn/ms/Restoran jual nasi arab didenda berkaitan kes radang perut dan usus
11 Julai 2024 (Khamis)
Pemilik rangkaian restoran Abu Mubarak Mandi Rice didenda sebanyak S$4,700 (RM16,354) kerana melanggar peraturan kebersihan serta cuai dalam memastikan keselamatan makanan yang dihidang. Ia selepas terdapat laporan mengenai beberapa pelanggan mengalami jangkitan radang perut dan usus yang menikmati juadah makanan yang disediakan di cawangan Tampines.
Siasatan yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) di premis berkenaan mendapati ia melanggar beberapa peraturan kebersihan seperti terdapat sarang lipas di bahagian penyediaan makanan dan menjual makanan yang tidak bersih.
Pada April tahun lepas, pihak berkuasa menerima 12 laporan tentang kes jangkitan radang perut dan usus melibatkan pelanggan yang menikmati hidangan yang disediakan di restoran terbabit. Dua daripadanya dimasukkan ke hospital, kemudian dibenarkan pulang.
SFA menegaskan pengendali makanan perlu sentiasa peka dengan kebersihan penyediaan dan keselamatan makanan serta memastikan premis mereka sentiasa berada dalam keadaan terurus dan bersih. "Keselamatan makanan ialah tanggungjawab bersama kerana makanan boleh tercemar di mana-mana pada rantaian pemakanan," kata SFA menerusi kenyataan.
"Walaupun SFA terus berwaspada dan memastikan garis pematuhan sentiasa diikuti dan dikuatkuasakan dengan betul, industri dan pengguna juga perlu memainkan peranan mereka."
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Tampines restaurant Abu Mubarak fined S$4,700 for food safety lapses following cases of gastroenteritis " — CNA, 11 Julai 2024
- (Melayu) "Restoran Nasi Mandi Abu Mubarak di Tampines didenda S$4,700; 12 kes radang perut dan usus" — Berita MediaCorp, 11 Julai 2024