Wn/ms/Protes filem anti-Islam berterusan di Asia

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Protes filem anti-Islam berterusan di Asia

19 September 2012 (Rabu)

Peta menunjukkan negara di mana tunjuk perasaan telah berlaku.

SRINAGAR 19 Sept. − Bantahan dan tunjuk perasaan terhadap video anti-Islam, Innocence of Muslims kini merebak sehingga ke negara Thailand, kawasan barat laut Pakistan dan wilayah Kashmir India pada hari Selasa. Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Bangkok juga telah ditutup pada tengah hari selepas berlakunya protes dan tiada ancaman terhadap warga Amerika di situ dilaporkan.

Di Kashmir, Pakistan, pasukan tentera dan para penunjuk perasaan telah bertempur di beberapa jalan utama telah menyebabkan kawasan perniagaan terpaksa ditutup dan pengangkutan awam tergendala. Penunjuk perasaan telah bertindak membakar bendera AS dan gambar presiden Barack Obama dan pihak polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan.

Manakala di Dhaka, Bangladesh, kerajaan bertindak menyekat capaian YouTube selepas laman perkongsian video enggan mengeluarkan filem tersebut di negara itu. Selain Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan juga telah melakukan perkara yang sama.

Kerajaan Arab Saudi juga memberi amaran bahawa akan mengharamkan laman YouTube di negara tersebut jika pihak Google enggan menyekat video tersebut. Sebuah agensi dari Arab Saudi, SRA memetik bahawa:

Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat Arab Saudi (CITC) telah mengarahkan syarikat di negara terbabit untuk menyekat filem berkenaan di internet dan juga meminta supaya Google menyekat kesemua sambungan YouTube yang membawa kepada penyiaran video tersebut. Jika tuntutan ini tidak dipenuhi, tindakan sewajarnya dari CITC mungkin diambil untuk menyekat seluruh laman sosial YouTube.
Para ulama yang berhimpun membantah penayangan video menghina Nabi Muhammad.

Video berdurasi kira-kira 14 minit itu memaparkan kisah Nabi Muhammad sebagai kaki perempuan dan merupakan seorang pengganas. Ia juga menceritakan keldai sebagai haiwan pertama dalam Islam.

Ekoran penayangan video itu, Christopher Stevens, Duta AS ke Libya didapati maut di Benghazi apabila kedutaan AS telah diserang pada minggu yang lalu.

Pengarah yang disyaki mengarahkan filem tersebut berkata di sebuah stesen radio di California bahawa Amerika tidak mempunyai kaitan dengan penghasilan video tersebut. Beliau juga mengkritik penunjuk perasaan dan meluahkan rasa sedih terhadap kematian duta AS itu. Tambah beliau lagi, penghasilan filem itu bukanlah sesuatu yang perlu dikesalkan.

Sementara itu, beberapa cawangan kumpulan pengganas Al-Qaeda di Afrika Utara mengeluarkan kenyataan supaya memperhebatkan lagi serangan terhadap diplomat AS dengan sebab tindakan membalas dendam terhadap filem bajat rendah yang menghina Nabi. Kumpulan itu juga mengancam untuk mengadakan serangan di Algeria, Tunisia, Maghribi dan Mauritania.


Rencana ini mengandungi bahan daripada "Protests Spread Over Anti-Islam Video" oleh Berita VOA yang berada dalam domain awam.


Sumber[edit | edit source]