Wn/ms/Pesawat Saurya Airlines terhempas di Kathmandu, 18 maut manakala juruterbang selamat
24 Julai 2024 (Rabu)
KATHMANDU - Sebuah pesawat komersial Nepal terhempas dan terbakar beberapa minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan dekat ibu negara tadi. Seramai 18 mangsa terkorban dalam insiden itu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Imej: Anurup Pathak.
Pesawat malang milik syarikat penerbangan Saurya Airlines sepatutnya dijadualkan berlepas ke sebuah lapangan terbang baharu di Pokhara yang dilengkapi dengan hangar penyelenggaraan pesawat bagi melakukan pemeriksaan rutin dan ujian penerbangan. Seramai 2 orang krew penerbangan, 15 orang juruteknik dan 2 orang awam berada dalam pesawat berkenaan.
Kejadian itu berlaku sekitar pukul 11:00 pagi waktu tempatan apabila pesawat jenis Bombardier CRJ 200 itu mula berlepas dari salah satu landasan. "Pesawat itu dilihat tiba-tiba tidak stabil dan terhempas di kawasan padang di bahagian timur landasan," kata Arjun Chand Thakuri, Ketua Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.
Rakaman yang tersebar di laman sosial menunjukkan sejurus ia berlepas, pesawat itu dilihat membelok ke arah kanan secara berlebihan pada ketinggian rendah sebelum ia menjunam dan terhempas di bahagian kanan sayap. Hanya seorang juruterbang dilaporkan terselamat dan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan. Seorang doktor di Hospital Kolej Perubatan Kathmandu memberitahu media AP bahawa mangsa seorang juruterbang hanya mengalami kecederaan di bahagian mata "namun tidak berada dalam keadaan kritikal".
Pihak berkuasa penerbangan kemudian mengesahkan mangsa yang terkorban terdiri daripada 17 orang termasuklah kanak-kanak berumur empat tahun merupakan warga tempatan manakala seorang lagi merupakan warga Yaman. "Kami sedang dalam proses membawa kesemua mayat ini untuk menjalani proses bedah siasat," kata jurucakap Polis Nepal. Tiga daripadanya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Susulan insiden itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan ditutup sementara bagi membolehkan krew kecemasan lapangan melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak nahas.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Alfred Chua. " Saurya Airlines CRJ200 fatally crashes during take-off from Kathmandu " — FlightGlobal, 24 Julai 2024
- (Inggeris) " Plane crash at Nepal’s Kathmandu airport kills 18; pilot only survivor " — Aljazeera, 24 Julai 2024
- (Inggeris) " Plane crash at Nepal's Kathmandu airport kills 18 " — Reuters, 24 Julai 2024
- (Inggeris) Apoorna Sharma. " Nepal flight crash: 18 dead as plane with 19 on board crashes during takeoff, pilot survives " — WION, 24 Julai 2024