Wn/ms/Penularan jangkitan influenza, 34 MRSM arah laksanakan PdPR
KUALA LUMPUR - 34 buah institusi pendidikan Maktab Rendah Sains MARA melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berkuatkuasa serta-merta susulan penularan jangkitan wabak influenza dalam kalangan pelajar.
Menerusi hantaran di laman Facebook Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, arahan itu dikeluarkan pengurusan MARA berikutan MRSM terbabit mencatatkan lebih dari 50 kes jangkitan influenza. "Kami terpaksa mengambil langkah drastik untuk tidak menunggu pengisytiharan penutupan premis dari Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.
Tambahnya lagi, pengurusan MRSM telah membenarkan pelajar pulang ke rumah bagi meneruskan sesi PdPR, sementara proses sanitasi dilakukan. Beliau turut memohon doa agar semua pelajar kembali pulih dan penularan jangkitan dapat dihentikan dengan segera.
Pada Jumaat, MRSM Gemencheh diarahkan tutup susulan lapan orang pelajar mengalami gejala demam, sakit tekak dan batuk. Setakat ini, seramai 2,724 orang pelajar MRSM direkodkan mengalami jangkitan virus influenza.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 97 kluster influenza di seluruh negara, naik 14 berbanding minggu sebelumnya. Kebanyakkan kluster itu berpunca di sekolah menengah dengan 32 kluster.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) "34 MRSMs move classes online after 2,724 students contract flu" — FMT, 12 Oktober 2025
- (Melayu) Mahani Ishak. "2,724 pelajar dijangkiti influenza, 34 MRSM diarah laksana PDPR" — Berita Harian, 12 Oktober 2025
- (Melayu) Nor Ainna Hamzah. "MRSM Gemencheh ditutup 20 hari akibat penularan influenza" — Utusan Malaysia, 10 Oktober 2025

