Wn/ms/Pelajar UTP dari Sabah suarakan hak pendidikan untuk semua di Amerika Syarikat
8 Julai 2024 (Isnin)
Seorang pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Pengajian Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Petronas (UTP), Winalda Basri Eko mewakili Malaysia dalam menyuarakan hak pendidikan untuk semua di program Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang telah diadakan di Amerika Syarikat.

Imej: PBB.
Beliau yang berasal dari Tawau, Sabah itu berkata hak pendidikan sepatutnya boleh diakses oleh semua tanpa mengira status kewarganegaraan mereka. "Saya percaya matlamat keempat dalam agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mengenai kualiti pendidikan merupakan keperluan asas bagi semua orang, termasuklah kanak-kanak tanpa warganegara," katanya.
Merujuk kepada dokumen SDG, Matlamat 4 adalah berkaitan dengan Kualiti Pendidikan. Di bawah matlamat itu, ia menggariskan beberapa perkara berkaitan akses pendidikan termasuklah menghapuskan diskriminasi dalam pendidikan yang meliputi jantina, golongan kelainan upaya, orang Asli serta kanak-kanak yang terancam akibat status perundangan.
Menurut Winalda, latar belakang keluarga sebagai imigran mendorongnya bersuara mewakili kanak-kanak yang dinafikan hak pendidikan kerana status kewarganegaraan, selain bersetuju bahawa semua pihak tidak mengira latar belakang layak diberi peluang untuk belajar, meningkatkan diri serta menentukan nasib mereka sendiri.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) Nazihah AN. "Dari Sabah Ke Nebraska, Anak Jati Tawau Ini Suarakan Hak Pendidikan Di Amerika Syarikat" — iloveborneo, 8 Julai 2024
- (Melayu) Nur Iftitah Rozlan. "(VIDEO) Anak Tawau 'mendunia', Winalda Basri gegar Universiti Nebrasaka" — Majoriti, 6 Julai 2024
- (Inggeris) " Goal 4: Quality education " — The Global Goals, 23 Januari 2024