Wn/ms/Peladang mengaku bersalah memalsukan dokumen untuk pensijilan salmonella
16 Julai 2024 (Selasa)
Seorang penternak ayam dikenakan denda sebanyak £50,000 (RM302,966) kerana kesalahan memalsukan dokumen yang diperlukan untuk pensijilan salmonella sebelum produk berasaskan ayam dan telur dari ladangnya diluluskan untuk tujuan pengkomersialan.
Stuart Perkins dari syarikat SG Perkins Ltd yang diasaskan di Radstock, England mengaku bersalah dalam pelbagai pertuduhan di bawah Peraturan Keselamatan dan Kebersihan Makanan (England) 2013 dan Akta Kesihatan Haiwan 1981. Ia selepas pendakwaaan dikenakan ke atasnya oleh Agensi Piawaian Makanan UK (FSA).
Pada November 2023, sepasukan pihak berkuasa termasuk FSA mengeluarkan waran geledah terhadap ladang penternakan milik Perkins dan menjumpai bukti yang dikaitkan dengan pemalsuan ujian bagi tujuan pensijilan dan kebolehkesanan yang diragui. Agensi Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan UK (APHA) kemudian melakukan siasatan lanjut dengan mengambil beberapa sampel Salmonella secara rasmi.
Produk yang didapati memiliki kaitan dengan ladang Perkins dikeluarkan dari pasaran oleh FSA untuk mengurangkan risiko keselamatan makanan.
Ketua Unit Jenayah Pemakanan Nasional FSA (NFCU), Andrew Quinn menyambut baik keputusan itu kerana ia membuktikan betapa seriusnya kesan yang dialami akibat pemalsuan dokumen dan menjejaskan keselamatan rantaian makanan secara keseluruhan. "Ini sepatutnya menjadi penghalang kepada sesiapa sahaja yang berniat mengambil jalan mudah yang berbahaya dan melanggar undang-undang berkaitan keselamatan makanan dan kebersihan," katanya.
Pensijilan salmonella merupakan salah satu amalan berkaitan keselamatan makanan yang memastikan pengendalian haiwan ternak dan pengeluaran makanan adalah bebas dari bakteria Salmonella.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Poultry farmer fined over £50k for faking salmonella test results " — Farmers Guide, 15 Julai 2024
- (Inggeris) " UK Poultry Farmer Fined £50,000 for Fake Salmonella Testing Certificates " — FoodSafety Magazine, 15 Julai 2024