Wn/ms/Paetongtarn Shinawatra dipilih Perdana Menteri Thailand baharu, cipta sejarah PM paling muda
16 Ogos 2024 (Jumaat)
BANGKOK - Paetongtarn Shinawatra, anak kepada bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand baharu selepas beliau memenangi sesi undian yang dijalankan di Dewan Rakyat pagi tadi.
Pelantikan beliau dibuat selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan memecat bekas perdana menteri, Srettha Thavisin atas dakwaan melantik menteri dengan rekod jenayah lampau. Pada Khamis, Parti Pheu Thai mencadangkan nama Paetongtarn sebagai pengganti setelah tiada nama lain dicadangkan oleh 10 parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen.
Dewan Rakyat yang bersidang pukul 10 pagi waktu tempatan hari ini kemudian membuat usul undian untuk melantik Perdana Menteri baharu. Usul itu diluluskan dengan 319 Ahli Parlimen menyokong Paetongtarn sebagai Perdana Menteri baharu, sementara 145 menentang dan 27 lagi tidak hadir.
Paetongtarn merupakan orang ketiga dalam keluarga Shinawatra yang menjawat jawatan utama itu. Ayahnya, Thaksin pernah memegang jawatan perdana menteri sebelum digulingkan tentera pada 2006 dan kembali ke negara selepas 15 tahun dibuang negeri. Ibu saudaranya, Yingluck merupakan wanita pertama menjawat jawatan perdana menteri sekitar 2011 hingga 2014 juga menerima nasib sama apabila dipecat menerusi keputusan mahkamah.
Beliau yang berumur 37 tahun menjadi perdana menteri paling muda dalam sejarah, tetapi tidak pernah menduduki sebarang jawatan dalam kerajaan sebelum itu. Beliau mula bergiat dalam bidang politik apabila diumum sebagai salah seorang daripada tiga calon perdana menteri oleh partinya dalam Pilihan Raya Umum 2023 lalu, namun tewas kepada Parti Move Forward.
Sebagai Perdana Menteri ke-31, Paetongtarn akan berdepan dengan beberapa cabaran, termasuklah mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap partinya yang semakin merosot terutamanya memenuhi manifesto melibatkan program bantuan tunai yang belum dilaksanakan
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Paetongtarn Shinawatra elected Thailand’s 31st prime minister " — Bangkok Post, 16 Ogos 2024
- (Inggeris) Rebecca Ratcliffe. " Thaksin’s daughter Paetongtarn Shinawatra becomes Thailand’s youngest prime minister " — The Guardian, 16 Ogos 2024
- (Inggeris) " Thai lawmakers vote Thaksin's daughter Paetongtarn Shinawatra to be next PM " — CNA, 16 Ogos 2024
- (Inggeris) " Paetongtarn Shinawatra becomes Thailand’s next PM, youngest ever " — Aljazeera, 16 Ogos 2024